Tindakan pantas tutup Sugarbook dipuji
KONTROVERSI platform temu janji, Sugarbook sudah menggegarkan negara sejak Disember 2019 lagi.
Memang sudah dijangka sejak dari awal lagi aplikasi tersebut tidak sesuai dengan norma dan budaya di negara ini.
Namun, tiada siapa ambil peduli sehinggalah Sugarbook mendedahkan seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi ‘sugar baby’ membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah dari IPT awam.
Sudah tentu, perkara ini meresahkan banyak pihak terutama golongan ibu bapa mengenai kegiatan yang tidak bermoral itu.
Jumlah yang didedahkan itu adalah sesuatu yang membimbangkan dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
Sugarbook tidak seharusnya dibenarkan beroperasi di negara ini dan terus merosakkan akhlak golongan muda.
Golongan muda sepatutnya disemai dan dibaja dengan nilai-nilai murni dan keagamaan supaya generasi masa depan kita mempunyai jati diri yang tinggi bukan bergelumang dengan dosa yang memusnahkan jiwa raga mereka.
Ambil contoh pada September tahun lalu, apabila India bertindak mengharamkan 118 aplikasi dari China. Mereka mengharamkan permainan dalam talian PUBG dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh gergasi internet China, Tencent.
Pengharaman itu dilakukan atas alasan aplikasi terbabit mempromosikan kegiatan yang ‘menggugat kedaulatan dan integriti India, pertahanan India, keselamatan negara dan ketenteraman awam’.
Jika India melakukan perkara itu demi keselamatan maka Malaysia juga boleh melakukan perkara yang sama.
Sugarbook telah diwujudkan sejak tahun 2017 dan diasaskan oleh seorang rakyat Malaysia yang kini menetap di Australia.
Sepatutnya, pengasas aplikasi itu faham tentang budaya dan norma masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam.
Justeru itu, tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menutup akses Sugarbook di negara ini amat dipuji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!