Belum pasti jangan cepat sangat kongsi

Dalam dunia yang penuh dengan kecanggihan teknologi masa kini, terlalu mudah untuk masyarakat berkongsi segala maklumat. - Foto 123RF
Dalam dunia yang penuh dengan kecanggihan teknologi masa kini, terlalu mudah untuk masyarakat berkongsi segala maklumat. - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini rakan penulis ada bercerita tentang kilang tempatnya bekerja yang kebiasaannya senyap sunyi pada waktu malam tiba-tiba bertukar menjadi kecoh.

Semuanya gara-gara permohonan bantuan kewangan yang dipohon mereka diluluskan.

Masing-masing bergembira kerana menyangka mereka akan menerima duit bantuan dalam masa terdekat dan pelbagai perancangan dibuat untuk menggunakan wang bantuan itu.

Ada yang merancang untuk belanja rakan-rakan makan, ada yang nak bagi sedikit wang kepada ibu bapa di kampung, ada yang nak beli komputer riba untuk kegunaan pendidikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak, ada yang rancang nak simpan duit untuk kegunaan masa tua, ada juga rancang nak baik pulih kenderaan yang rosak dan banyak lagi perancangan untuk dilakukan dengan wang bantuan yang ‘berjaya’ dipohon mereka.

Namun, langit tidak selalunya cerah, disangkakan wang bantuan akan masuk ke akaun bank sendiri, rupa-rupanya ‘disekat’ semula.

Selepas tidur nyenyak memikirkan akan menjadi ‘kaya’, bangun sahaja daripada tidur mereka dikejutkan dengan berita yang begitu ‘menyayat hati’.

Semuanya gara-gara sistem laman web institusi yang menguruskan bantuan itu mengalami masalah teknikal menyebabkan status permohonan bantuan semua pemohon ‘diluluskan’ tanpa sengaja.

Harapan menggunung dengan pelbagai perancangan kini tinggal kenangan.

Artikel Berkaitan:

Mereka perlu menanti lagi untuk mengetahui sama ada permohonan mereka diluluskan atau tidak.

Cerita rakan penulis ini sebenarnya membuktikan kebanyakan rakyat Malaysia begitu teruja bila mengetahui akan mendapat wang.

Pada masa dunia berhadapan dengan pandemik Covid-19 kini, kita sebenarnya memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.

Kebanyakan daripada kita mengalami masalah kewangan akibat dipotong gaji, dibuang kerja, perniagaan tidak berjalan lancar dan banyak lagi.

Apabila dikhabarkan akan menerima wang, kita secara automatik akan berubah dan menjadi insan yang paling gembira di dunia namun perkara yang belum pasti sebenarnya adalah perkara yang begitu ‘menyakitkan hati’.

‘Kegembiraan’ kita juga terlalu cepat untuk dikongsikan bersama rakan yang lain. Dalam dunia yang penuh dengan kecanggihan teknologi masa kini, terlalu mudah untuk kita berkongsi segala maklumat.

Tidak kiralah maklumat itu benar atau tidak, kita boleh berkongsi maklumat itu hanya dengan menggunakan hujung jari saja.

Pelbagai medium boleh digunakan untuk kita berkongsi maklumat.

Sebagai contoh, baru-baru ini kecoh di media sosial apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menghantar surat peletakan jawatan kerana kecewa dengan peningkatan kes Covid-19 yang ketara di Malaysia.

Terpaksa nafi

Dan yang menariknya, berita mengenai peletakan jawatan Dr Noor Hisham itu begitu pantas dikongsi oleh orang ramai di media sosial.

Dr Noor Hisham kemudian terpaksa tampil untuk menafikan berita berkenaan. Menerusi satu hantaran ringkas di akaun media sosialnya, Dr Noor Hisham berkata, penularan berita palsu itu turut mengelirukan rakyat.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah begitu kerap menasihati orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.

Kerana menurut beliau, sehingga 8 Februari 2021, sebanyak 281 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Dalam pada itu, SKMM turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Sanggupkah kita bayar denda sebanyak itu hanya kerana terlalu pantas berkongsi maklumat yang belum pasti? Tepuk dada tanya iman sendiri!!!

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!