MCMC komited aktif dalam kempen basmi jenayah siber

Al-Ishsal Ishak - Foto Bernama
Al-Ishsal Ishak - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk terbabit secara aktif dalam kempen-kempen advokasi membasmi jenayah siber yang kian meningkat, kata Pengerusinya Al-Ishsal Ishak.

Sebagai contoh, katanya pada Januari tahun ini, MCMC telah terbabit dalam beberapa temu ramah media untuk mengetengahkan isu pelbagai jenayah siber seperti Macau Scam, African Scam, penipuan dalam talian dan penipuan pinjaman.

"Sebanyak 12 artikel diterbitkan pada Januari berkaitan dengan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Al-Ishsal berkata kesemua inisiatif yang dilaksanakan MCMC sepanjang bulan lepas mencerminkan komitmen dan keazaman pihak MCMC untuk menaikkan industri komunikasi dan multimedia Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang menyedari bahawa industri tersebut merupakan salah satu asas utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata MCMC akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa kepada rakyat mengenai pelbagai inisiatif berkaitan dengan industri komunikasi dan multimedia tatkala ia terus menerajui fasa pertumbuhan industri negara yang berikutnya.

“Rakyat merupakan pihak berkepentingan utama kepada MCMC justeru adalah hanya betul untuk kita (MCMC) memasukkan mereka sebagai sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan industri ketika ketersambungan kini menjadi aspek utama dalam kehidupan seharian mereka dan pemangkin untuk memacu pembangunan ekonomi,” katanya.

Al-Ishsal berkata projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo di Jasin Melaka pada 8 Jan lepas menjadi antara projek pertama dirancang untuk masa depan.

“Ketersambungan merupakan satu senjata penting dalam memperkasakan komuniti baik dalam tindakan memberikan capaian kepada maklumat-maklumat yang berguna sehinggalah kepada usaha membantu perniagaan-perniagaan kecil," kata Al-Ishsal.

Artikel Berkaitan:

Dengan kejayaan pelancaran projek rintis NFCP di Melaka yang mana rakyat akan dapat menikmati kelajuan Internet sehingga 1Gbps (gigabit sesaat), MCMC akan komited untuk memastikan masyarakat luar bandar lain akan menerima jalur lebar berkelajuan tinggi sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang saksama dan inklusif, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!