Vaksin Covid-19 tiba Ahad ini
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada Ahad ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari.
"Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan," katanya dalam ucapan majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di pejabatnya, di sini pada Selasa.
Menurutnya, satu lembaran baharu bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini.
"Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program imunisasi secara menyeluruh adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti sekali gus memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dan menamatkan pandemik ini.
"Apabila semua orang telah dilindungi dan program imunisasi berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula dirasai," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahli politik penerima vaksin Covid-19 fasa pertama
Muhyiddin berkata, pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula selepas program imunisasi selesai dilaksanakan.
"Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan normal baharu," katanya.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan tidak mengambil mudah berhubung vaksin Covid-19.
"Apabila tiba masanya, jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin. Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta.
"Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan, untuk dos pertama dan juga dos kedua kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi," katanya.
Terdahulu, selain melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Muhyiddin turut melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana buku panduan program imunisasi ini boleh dimuat turun.
Buku panduan yang diterbitkan itu untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi.
"Dokumen ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada para pembuat dasar dan pelaksana, tetapi juga untuk rujukan masyarakat," katanya sambil menyifatkan penerbitan buku berkenaan tepat pada masanya.
Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!