Ahli politik penerima vaksin Covid-19 fasa pertama

Muhyiddin berucap pada pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di pejabatnya pada Selasa.
Muhyiddin berucap pada pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di pejabatnya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli politik yang terdiri daripada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut disenarai sebagai penerima vaksin Covid-19 fasa pertama.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ahli politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang dikategorikan sebagai barisan hadapan kerana sering bertemu dengan masyarakat di akar umbi.

"Mereka sering terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di pejabatnya pada Selasa.

Menurutnya, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti bagi memahami keperluan vaksin Covid-19.

"Insya-ALLAH, kita akan laksanakan apabila vaksin akan terima dalam tempoh terdekat," katanya.

Mengulas mengenai desakan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menggesa wartawan dan guru disenaraikan dalam penerima fasa pertama, Muhyiddin berkata, bekalan vaksin pada fasa pertama adalah terhad.

"Saya setuju wartawan dan guru keduanya sangat penting tetapi kerana bekalan vaksin sangat terhad pada fasa pertama, kita perlu selektif untuk memastikan perkhidmatan penting tidak terkesan oleh jangkitan Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli politik penerima vaksin Covid-19 fasa pertama

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila negara menerima bekalan vaksin yang banyak kelak, pekerja termasuk wartawan dan guru akan divaksinkan.

"Ini untuk memastikan perkhidmatan kesihatan, pertahanan dan keselamatan dioptimumkan," katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, kerajaan memperuntukkan 300,000 dos untuk barisan hadapan petugas kesihatan pada fasa pertama.

"Sebanyak 200,000 dos lagi telah diperuntukkan untuk barisan hadapan bukan perubatan yang merangkumi anggota keselamatan, pegawai kebajikan dan juga ahli politik," katanya.

Sebelum ini, kerajaan dilapor akan memulakan fasa pertama pada 26 Februari depan dengan 500,000 petugas barisan hadapan, manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga merangkumi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!