Ahmad Zahid beri jaminan UMNO ada hala tuju, strategi jelas
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa parti itu mempunyai hala tuju yang jelas.
Beliau berkata, hala tuju paling utama parti ketika ini ialah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, keduanya memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN.
“Ada yang resah dan bertanya UMNO seolah-olah tiada hala tuju. Apa yang Presiden UMNO lakukan? Ke mana UMNO mahu dikemudi?
“Saya faham keresahan ini. Justeru hari ini saya beri jaminan bahawa UMNO ada hala tuju yang jelas.
“Semalam (Isnin) saya menjawab tentang status Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan Pas pada 2019 jika ada yang masih tertanya-tanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, beliau faham hala tuju sering dikaitkan dengan strategi dan memberi jaminan UMNO memilikinya.
“Cumanya, ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan.
“Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana,” katanya
Katanya, strategi yang ada menelusuri senario semasa berdasarkan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman) dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan.
“Insya-ALLAH barisan pimpinan UMNO mempunyai strategi yang terbaik untuk UMNO, ahli-ahlinya dan rakyat keseluruhan.
“Tetapi agak menghairankan apabila anti-UMNO yang seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana UMNO kononnya tiada hala tuju.
“Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!