PGA Semenyih rampas rokok seludup lebih RM140,000
SEKINCHAN - Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih merampas 2,035 karton rokok seludup bernilai RM144,502 selepas menahan dua individu dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di sini pada Selasa.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rizal Mohamed berkata, suspek yang ditahan dalam sebuah kereta di di Lorong 7 Bagan Sekinchan sekitar jam 5 petang pada Isnin itu merupakan warga tempatan berusia 25 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 26 tahun. .
"Hasil pemeriksaan anggota PGA menemui 75 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM5,148 yang disembunyikan di dalam kenderaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, susulan penahahan dua suspek itu pihaknya turut merampas sebanyak 1,960 karton rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM139,354 dalam serbuan kedua di dua lokasi di Sekinchan.
Katanya, serbuan jam 12.05 pada pagi Selasa itu dijalankan di Taman Perindusrian Pertama, Sekinchan dan Jalan Orkid Taman Sekinchan Jaya, Sekinchan.
"Turut dirampas sebuah kenderaan, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM10,306 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM412,682," nya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
"Tangkapan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok seludup sekitar Sekinchan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!