Remaja lelaki Gaza dilarang mengembara tanpa izin keluarga

Gambar fail menunjukkan beberapa orang lelaki Palestin membawa beg di Lintasan Rafah untuk mengembara dari Genting Gaza ke Mesir baru-baru ini. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa orang lelaki Palestin membawa beg di Lintasan Rafah untuk mengembara dari Genting Gaza ke Mesir baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR GAZA - Ibu bapa di Gaza kini mempunyai kuasa baharu yang diberikan kepada mereka iaitu menghalang anak-anak lelaki mereka berumur lebih 18 tahun keluar untuk mengembara, kata pemerintah Hamas.

Larangan itu turut meliputi para remaja lelaki yang berada di bawah jagaan penjaga mereka.

Ia dibuat berdasarkan permintaan bapa atau datuk dan arahan tersebut juga melibatkan gadis yang masih dara, balu atau wanita sudah bercerai.

Kesemua mereka dilarang mengembara melainkan mendapat kebenaran daripada seorang penjaga masing-masing.

"Salah seorang ibu bapa atau datuk mungkin menghalang seorang anak lelaki berumur lebih 18 tahun daripada mengembara jika ia akan membawa kesan yang tidak baik dengan membawa kes tersebut ke mahkamah bersesuaian," tambah Hamas seperti dilaporkan oleh AFP.

Bagaimanapun, ia tidak menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan kesan tidak baik itu.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Majlis Tertinggi Syariah di Gaza iaitu Hassan al-Juju berkuat kuasa dengan segera.

Ia kemudian disebarkan di Gaza pada Ahad lalu tanpa penjelasan lebih lanjut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun larangan itu kemudiannya mendapat kritikan daripada beberapa kumpulan hak asasi manusia pada Isnin.

Sebuah pertubuhan hak asasi manusia, Pembela Demokratik Untuk Pembebasan Palestin mengutuk arahan itu dan menganggapnya sebagai satu pencabulan terhadap undang-undang wilayah tersebut dan melanggar Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia.

Pemantau Hak Asasi Manusia Eropah-Mediterranean yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland pula berkata, langkah tersebut merupakan satu perlanggaran hak asasi manusia dan menuntut ia ditarik balik.

Hamas mengambil alih pentadbiran di Genting Gaza iaitu wilayah Palestin yang mengalami sekatan dan kepungan oleh rejim Zioinis.

Sebelum ini, pergerakan Islam itu mencapai satu perjanjian dengan Fatah untuk mengadakan pilihan raya yang pertama dalam tempoh 15 tahun.

Fatah menguasai PA di wilayah Tebing Barat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!