Hati-hati terima pandangan berkaitan forex
SHAH ALAM - Umat Islam dinasihatkan untuk berhati-hati dengan pandangan atau fatwa yang diberikan oleh individu berkaitan isu pelaburan pertukaran mata wang asing atau forex yang telah disahkan haram oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Mustafar Mohd Suki berkata, ramai dilihat masih keliru tentang status forex ini memandangkan ada pihak mengatakan ia harus dan sebahagian pandangan lagi mengatakan ia haram.
Beliau berkata, isu ini timbul kerana ramai yang tidak faham tentang konsep fatwa itu sendiri sedangkan fatwa itu sepatutnya menjadi panduan kepada mereka kerana ia adalah penjelasan hukum ALLAH SWT berkaitan haram dan harus.
Malah katanya, turut disebutkan oleh seorang ulamak tersohor bahawa fatwa adalah soal jawab, penerangan dan jawapan kepada satu hukum yang ditanya berkaitan ibadah muamalat dan selainnya.
"Jadi kita kena faham susur galur fatwa itu sendiri dan di Malaysia, fatwa ini akan melalui proses pembentangan kertas kerja, kemudian akan dibincangkan mufti di peringkat kebangsaan sebelum dihantar kepada penasihat perundangan kerana ia juga memerlukan perbincangan dari sudut perundangan.
"Setelah itu, fatwa itu akan dirujuk kepada sultan atau raja untuk digazetkan atau tidak. Ini menunjukkan bahawa fatwa tidak dibuat sewenang-wenangnya tetapi mempunyai kaedah tertentu," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-86 bertajuk Forex: Fatwa Siapa Diambil yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Turut menjadi panelis program, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah.
Program itu dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 278.
Tambah Mustafar, dalam isu forex ini, lebih 20 badan berautoriti dunia menyatakan ia haram termasuk sebab-sebab yang menjadikannya haram serta bagaimana ia difatwakan.
"Oleh itu, kita kena berpegang kepada fatwa dan di Malaysia, boleh rujuk balik tentang isu berkaitan muamalat bukan sahaja berkaitan forex atau urusniaga harian lain sama ada dengan pihak Bank Negara, Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan sebagainya.
"Jangan jadikan istilah 'shopping fatwa' sebagai panduan kerana istilah ini melihat orang yang kata boleh tentang forex umpamanya dan menjadikan kita tidak pandai memilih fatwa mana serta siapa yang ada autoriti dan seterusnya terlibat dengan perkara haram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!