Pemuda jaga bapa sakit, abang OKU dalam rumah usang

Mohd Nasa'i bersama ayah dan abangnya di rumah mereka di Pasir Mas.
Mohd Nasa'i bersama ayah dan abangnya di rumah mereka di Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pemuda mengerah kudrat menjaga bapa dan ibunya yang terlantar sakit walaupun hidup serba kekurangan dalam sebuah rumah usang di Kampung Baru, Jalan Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas di sini.

Bukan itu sahaja, anak bongsu daripada lapan beradik itu juga menjaga abangnya, Mohamad Akmal Ehsan Mohd Nawi, 31, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan lumpuh sejak kecil.

Mohd Nasa'i Mohd Nawi, 29, berkata, bapanya, Mohd Nawi Mohamad, 80, yang merupakan bekas guru halaqat hanya terlantar di atas katil akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi kronik sejak tujuh tahun lalu manakala ibunya, Khaeriah Ahmad, 69, menghidap penyakit kanser hati tahap tiga.

"Saya bertanggungjawab mengurus dan menjaga ayah, ibu dan dan abang namun disebabkan keadaan rumah yang sudah uzur, ibu kini terpaksa tinggal bersama abang sulung," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurutnya, langkah itu terpaksa diambil kerana keadaan rumah didiami mereka ketika ini tidak selesa dan kurang sesuai dengan situasi kesihatan ibunya.

"Saya akan terus menjalankan tugas sebagai anak dengan sebaik mungkin termasuk menjaga abang," katanya.

Sebelum itu, Mohd Nasa'i menerima kunjungan Yayasan Raja Shamri yang diketuai oleh Pengerusinya, Raja Shamri Raja Hussin.

Dalam kunjungan itu, Yayasan Raja Shamri bersetuju untuk membaik pulih rumah daif keluarga berkenaan membabitkan kos RM50,000.

Artikel Berkaitan:

Keluarga berkenaan turut menerima bantuan kelengkapan katil, kerusi roda dan sumbangan wang tunai.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun RHB Bank atas nama Mohd Nasa'i Mohd Nawi iaitu 153-05-2000-92-600.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!