11,000 calon SPM, STPM sertai persediaan akhir secara maya

Penceramah, Dr Wan Omar Ali Saifuddin (kanan) bersama moderator, Ahmad Tirmizi Ghani (kiri) pada Program Motivasi Pecutan Akhir SPM/STPM 2020 secara dalam talian anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Penceramah, Dr Wan Omar Ali Saifuddin (kanan) bersama moderator, Ahmad Tirmizi Ghani (kiri) pada Program Motivasi Pecutan Akhir SPM/STPM 2020 secara dalam talian anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
A
A
A

KUALA NERUS - Lebih 11,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh negara menyertai Program Motivasi Pecutan Akhir SPM/STPM 2020 secara dalam talian anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Program selama tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin lalu menyediakan pelbagai panduan dan persiapan bagi calon sebelum menduduki peperiksaan.

Naib canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, langkah mengadakan program secara maya itu bagi membantu calon SPM dan STPM menduduki peperiksaan bermula 22 Februari nanti ekoran penularan wabak Covid-19 serta penangguhan jadual peperiksaan SPM 2020.

"Kita akui cabaran dan pengorbanan yang dihadapi oleh para pelajar terutamanya dalam menyesuaikan diri untuk mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian dan membuat ulangkaji pelajaran.

"Program motivasi ini diadakan dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Terengganu di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT)”, katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, selain pendedahan mengenai persiapan, penceramah dari UniSZA turut berkongsi teknik-teknik belajar peringkat akhir untuk menghadapi peperiksaan.

"Seramai tiga penceramah dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran yang telah berkongsi ilmu dan motivasi ini kepada lebih 11,000 calon SPM dan STPM seluruh negara.

"Calon peperiksaan yang menyertai program motivasi ini turut diberikan sokongan dalaman dan persiapan mental," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!