Vaksin: Silap besar jika tidak libatkan hospital, klinik swasta
SHAH ALAM - Kerajaan bakal melakukan kesilapan besar sekiranya tidak melibatkan peranan hospital dan 7,000 klinik swasta dalam mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada 75 hingga 80 peratus penduduk di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ketika ini kerajaan merancang menyediakan 605 pusat pemberian vaksin (PPV) supaya 70 peratus penduduk menerima vaksin seawal Februari tahun depan.
Menurutnya, tempoh itu agak lewat berbanding kebanyakan negara lain yang menyasarkan 75 peratus penduduk diberi vaksin seawal Julai tahun ini.
“Malaysia agak lambat untuk memulakan program vaksin tetapi kita masih ada peluang untuk mengejar 77 buah negara yang sudah bermula.
“Tiada sebab kenapa kerajaan boleh membenarkan pihak swasta untuk membuat ujian Covid-19 tetapi tidak membenarkan pihak swasta untuk memberi vaksin Covid-19.
“Walaupun kita dah lama ada hospital dan klinik kerajaan yang percuma, ramai rakyat juga sanggup untuk membayar bagi menerima rawatan di hospital serta klinik swasta,” katanya di Facebooknya pada Selasa.
Ujar Najib, penglibatan hospital dan klinik swasta akan mengurangkan bebanan 605 PPV kerajaan dan mempertingkatkan kadar pemberian vaksin bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
“Kerajaan perlu memainkan peranan mempercepatkan proses vaksinasi dan juga mengambil kesempatan kemungkinan besar bekalan vaksin akan melebihi permintaan tak lama lagi,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!