Reda terima kenyataan
SUNGAI PETANI - Lebih sebulan kudung tanpa kaki, akhirnya bekas pemandu lori, M Nazri Ismail, 41, menerima kenyataan bahawa dirinya kehilangan kedua-dua anggota terbabit selepas dihimpit lori sendiri 28 Disember lalu.
M Nazri berkata, kenyataan itu diterima selepas mendapat semangat dan kekuatan daripada rakan sekerja dari seluruh negara yang menziarahinya sempena cuti sambutanTahun Baru Cina baru-baru ini supaya terus berjuang berdepan kehidupan baharu yang tidak pernah difikirkan.
“Setakat ni saya sudah boleh terima kenyataan saya dah tak ada kedua-dua kaki. Dalam masa sama, saya cuba nak belajar guna kerusi roda bagi membantu saya menguruskan kehidupan tanpa perlu bergantung kepada isteri semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.
M Nazri berkata, tragedi dihimpit lori sendiri memberikan pengajaran bermakna kepadanya untuk lebih menghargai kehidupan yang masih ada.
"Setakat ini, saya diberitahu bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bermula Mac ini dan saya harap mampu meringankan beban ditanggung akibat tiada lagi pendapatan selain isteri hanya sebagai suri rumah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang melawat dan membantu termasuk kawan-kawan, pejabat Zakat, Perkeso, wakil Pejabat Pusat Khidmat, sukarelawan dan orang-perseorangan,” katanya.
Dalam kejadian terdahulu, M Nazri yang sedang memeriksa brek lori yang dipandunya, dihimpit jentera itu apabila kenderaan tersebut bergerak sendiri.
Secara kebetulan, sebuah treler lain diparkir di hadapan lori menyebabkan dia tersepit.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pemandu kudung dihimpit lori
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!