Mahkamah Belanda arah tarik balik perintah berkurung
THE HAGUE - Sebuah mahkamah di Belanda pada Selasa mengarahkan pemerintah supaya menarik balik perintah berkurung untuk membendung penularan Covid-19 yang telah mencetuskan rusuhan ganas di negara itu.
Hakim Mahkamah Daerah The Hague berkata, pemerintah telah menyalahgunakan kuasa darurat sejak pendudukan Nazi ketika Perang Dunia Kedua tercetus.
"Ia perlu ditarik balik dengan segera. Ia melanggar hak kebebasan untuk bergerak dan privasi. Ia sepatutnya memerlukan proses membuat keputusan yang sangat teliti," ujar mahkamah tersebut dalam satu kenyataan.
Kes tersebut difailkan kumpulan Viruswaarheid yang melancarkan siri protes membantah langkah untuk mengekang penyebaran wabak tersebut.
Jurucakap mahkamah memaklumkan pemerintah boleh mencabar keputusan itu, namun sebarang rayuan tidak akan menggantung arahan mahkamah terbabit.
Difahamkan, perintah berkurung bermula jam 9 malam hingga 4.30 pagi (waktu tempatan) itu yang dikuatkuasakan pada 23 Januari lalu telah dilanjutkan sehingga 2 Mac depan.
Walaupun ia diluluskan majoriti ahli Parlimen, cadangan langkah itu dikatakan tidak dikemukakan kepada Senat.
Rusuhan selama tiga hari berturut-turut bagaimanapun tercetus sejurus perintah berkurung itu dilaksanakan hingga memaksa pasukan keselamatan menggunakan semburan meriam air dan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan di beberapa bandar termasuk Amsterdam, Rotterdam dan Eindhoven. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!