Suruhanjaya bebas siasat rusuhan ganas di Capitol
WASHINGTON - Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi memaklumkan Kongres akan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat insiden rusuhan ganas di Capitol yang dilancarkan penyokong bekas Presiden, Donald Trump pada 6 Januari lalu, menurut laporan BBC pada Isnin.
“Kita perlu dapatkan kebenaran tentang bagaimana pencerobohan itu boleh berlaku. Suruhanjaya itu akan menyiasat, melaporkan fakta dan punca rusuhan tersebut dengan menggunakan model siasatan sama seperti yang dilancarkan ke atas tragedi 9/11,” ujarnya.
Keputusan itu dibuat selepas Leftenan Jeneral Bersara, Russel Honore menilai tentang keperluan keselamatan di Capitol dan mencadangkan Kongres memperuntukkan dana tambahan untuk menggandakan perlindungan tersebut.
Difahamkan, beberapa anggota Republikan telah menyatakan sokongan terhadap siasatan bebas tersebut selepas Trump dibebaskan daripada pertuduhan menghasut keganasan di Capitol susulan keputusan Senat yang berpihak kepadanya pada akhir minggu lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!