Lelaki aktif edar dadah di Lembah Klang diberkas
PETALING JAYA - Seorang lelaki disyaki aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang diberkas di Damansara Damai pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya telah menahan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun pada jam 1.30 pagi.
"Pemeriksaan lanjut, kita menjumpai sebuah beg galas yang mengandungi sembilan paket plastik disyaki dadah syabu seberat 130 gram dan 10 biji pil eramin 5," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Nik Ezanee berkata, susulan itu pihaknya telah menyerbu sebuah rumah milik suspek di Sutera Damansara di sini sekitar jam 8.28 pagi pada hari sama.
"Kita merampas 20 paket plastik disyaki dadah syabu seberat 105 gram dan tiga paket dadah jenis ekstasi seberat 5.67 gram," katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM 23,991 dan siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu.
Katanya, hasil ujian saringan awal mendapati suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.
"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod berkaitam kes dadah dan empat kes jenayah," katanya.
Nik Ezanee berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap suspek bagi mengesan sindiket lain yang terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!