Tingkat penguatkuasaan kelulusan perkakas elektrik
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Tenaga (ST) bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam meningkatkan penguatkuasaan berhubung kelulusan peralatan elektrik.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dalam penguatkuasaan terhadap peniaga dengan membatalkan lesen perniagaan jika terdapat penyalahgunaan undang-undang demi menjaga keselamatan pengguna.
Menurutnya, pihaknya amat kesal dengan laporan akhbar berhubung 28 maut selepas menggunakan alat elektrik tiada kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan ST.
"CAP terkejut dengan laporan tersebut dan memikirkan bagaimana produk elektrik yang tiada kelulusan boleh terus berada di pasaran. Masalah ini sudah lama didedahkan oleh CAP.
"Tinjauan kita mendapati banyak produk elektrik atau elektronik yang membimbangkan tanpa label SIRIM-ST seperti pengecas telefon bimbit, pengecas mudah alih (power bank), soket dan sebagainya membanjiri pasaran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, lebih membimbangkan, pengguna kini gemar membeli barangan elektrik melalui pembelian dalam talian tanpa mengetahui status kelulusannya.
"Barangan elektrik yang tiada kelulusan mungkin dijual dengan harga yang lebih murah, namun boleh menyebabkan pengguna kehilangan nyawa atau mendapat kecederaan.
"ST dan SIRIM perlu meneliti semula senarai produk terkawal. Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu bertindak terhadap penjual yang menjual produk elektrik bermutu rendah yang mungkin menggunakan label jaminan keselamatan SIRIM-ST palsu," katanya.
Akhbar melaporkan sebanyak 28 kematian direkodkan akibat penggunaan perkakasan elektrik tidak mempunyai kelulusan SIRIM-ST dan tidak mencapai standard ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh tahun lalu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, kajian ST mendapati bagi tempoh lima tahun lalu, anggaran purata jumlah kemalangan membabitkan elektrik adalah 52 kes setahun.
Katanya, pada tahun lalu sebanyak 45 kes kemalangan berkaitan penggunaan perkakasan elektrik dilaporkan yang mana daripada jumlah 45 kes itu sebanyak 17 kes kemalangan tidak membabitkan kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!