Lebih lapan jam padam kebakaran di tapak pelupusan sampah

Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Bairam, Pulau Burung yang berlaku sejak Ahad lalu.
Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Bairam, Pulau Burung yang berlaku sejak Ahad lalu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Seramai 50 anggota bomba dari tiga balai terlibat dalam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Bairam, Pulau Burung, di sini membabitkan keluasan kira-kira 929 meter kaki persegi.

Balai Bomba Penyelamat (BBP) yang terlibat adalah Nibong Tebal, Sungai Bakap, Perai serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan berhampiran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata, bomba mengambil masa lebih lapan jam untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Menurutnya, kejadian kebakaran tersebut berlaku pada Ahad bagaimanapun pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan pada Selasa selepas mendapati kebakaran berlaku di tempat sama, namun di kawasan berbeza.

"Kejadian berlaku pada Ahad tetapi semalam (Isnin), operasi memadamkan api berjaya dan ditamatkan. Bagaimanapun, hari ini, kita menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi berhubung kebakaran di tapak pelupusan sampah yang sama namun di kawasan berbeza.

"Kebakaran itu melibatkan kawasan atas bukit dengan anggaran keluasan kira-kira 929 meter persegi. Pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal api daripada terus merebak," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambahnya, jumlah keluasan keseluruhan tapak pelupusan sampah itu adalah 165,000 meter persegi.

"Kerja pemadaman dan pengawalan hari ini (Selasa) adalah bersumberkan air dari tangki jentera dan 'water tanker' kerana tiada pili bomba di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga membuat 'fire break' dengan bantuan dua unit jengkaut bagi menyekat kebakaran dari terus merebak. Kebakaran hari ini berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.27 petang," katanya.

Menurutnya, anggota bertugas telah menjalankan kerja pemantauan akhir sejam selepas api dipadamkan sepenuhnya untuk memastikan tiada punca api di kawasan tersebut.

"Kita masih menyiasat punca kebakaran dan kejadian ini tidak melibatkan mangsa," katanya.

Dua hari lalu, bomba memulakan operasi pemadaman pada jam 3.30 pagi melibatkan hampir 900 meter persegi di tapak pelupusan sampah tersebut.

Api berjaya dikawal sepenuhnya selepas sejam 45 minit dengan menggunakan sebuah jentolak yang mana pemantauan dilakukan selama tiga jam di kawasan terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!