Pengundi muda perlu diberi peluang mengundi
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berpandangan bahawa pengundi muda perlu diberikan peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ini kerana kata Isham, golongan pengundi muda terbabit adalah pemegang taruh yang besar kepada masa depan negara dan paling terkesan apabila kerajaan membuat keputusan yang salah.
"Mereka yang paling tertekan apabila ekonomi teruk di tangan kerajaan tiada majoriti ini dan yang paling terkesan dengan kadar pengangguran yang meningkat akibat 33 bulan dasar-dasar kerajaan Bersatu yang gagal.
"Kadar pengangguran negara telah mencecah 5 peratus, antara yang paling tinggi dalam sejarah.
"800,000 orang kini menganggur atau hilang kerja akhir-akhir ini akibat ekonomi negara yang merudum teruk berbanding negara-negara lain.
"Mereka yang paling ramai hilang kerja atau tiada kerja adalah anak muda di mana kadar pengangguran mereka adalah tiga kali ganda lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Komennya muncul susulan forum dalam talian di mana Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, dilaporkan berkata, rakyat belum bersedia untuk mengundi pada usia 18 tahun.
Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal dibuat selepas pemimpin muda Bersatu itu menyedari bahawa pengundi muda tidak akan menyokong mereka.
"Alahai dia ini, mungkin dia baru tahu pengundi muda tak akan undi dia dan partinya. Biarkanlah pengundi muda mengundi kali ini. Tak perlu saya ulas panjang kenyataan Ketua Armada ini," katanya.
Untuk rekod, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim juga baru-baru ini mendakwa keputusan menurunkan usia layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pada 2019, Parlimen bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya. Undang-undang tersebut telah diwartakan secara rasmi pada September 2019.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!