'Kami pantau Syafiq'
SELEPAS lebih dua bulan terlibat dalam insiden kemalangan ngeri yang mengorbankan anak, ibu mentua dan pembantu rumahnya, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad kembali menjalani latihan.
Menerusi gambar yang dimuat naik di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers, penyerang Harimau Malaya itu dilihat bersama rakan-rakan sepasukannya berlatih di Padang Sri Gelam, Johor Bahru mulai Isnin.
Situasi itu jelas menggembirakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sambil beliau tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Syafiq mengikuti kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata, beliau akan tetap memantau perkembangan terkini pemain berusia 25 tahun itu meliputi prestasi semasa, kecergasan termasuk dari segi psikologi.
“Kami akan pantau dari semua aspek berkenaan bagi memastikan dia dapat menjalani latihan dan bermain seperti biasa. Sudah tentu kami mahu mengembalikan semula keyakinannya setelah ditimpa kemalangan Disember lalu.
“Ya... selepas kemalangan itu, saya ada hubungi dia dan memberikan kata-kata semangat kepadanya supaya tidak risaukan mengenai skuad kebangsaan kerana ‘pintu’ sentiasa terbuka untuknya.
“Yang penting, dia dah mula berlatih dengan JDT. Setelah Syafiq mendapatkan semula keyakinan dan berada dalam prestasi terbaik, memang tidak ada masalah untuk kami memanggil dia nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam kejadian pada 6 Disember tahun lalu, bayi lelaki Syafiq yang baru berusia 22 hari antara tiga maut dalam kemalangan selepas kereta yang dipandunya terbabas di KM163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap.
Turut terkorban ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti manakala isteri Syafiq, Nur Amalina Nur Ain, 25, cedera parah. Syafiq dan anak perempuannya, Aaira Nur Saffiya, 2, mengalami cedera ringan.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata, dia masih ‘berkira-kira’ nama barisan pemain yang akan dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang ditangguhkan sebelum ini.
“Buat masa ini agak sukar membuat penilaian kerana Liga Malaysia (Liga-M) belum bermula. Cuma saya sudah ada gambaran awal siapa pemain yang akan dipanggil.
“Masih terlalu awal untuk saya menilai prestasi para pemain kerana mereka baru kembali menjalani latihan. Jadi kena tunggu liga bermula untuk saya pantau prestasi sebenar mereka,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!