Terjun perigi selepas bakar diri
MACHANG - Seorang lelaki yang terjun ke dalam perigi sedalam tiga meter selepas membakar diri berjaya diselamatkan anggota bomba di Kampung Hutan Rebana, di sini malam Selasa.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental pada awalnya didapati membakar diri dan terjun ke dalam perigi dalam keadaan badan yang melecur.
Menyedari keadaan tersebut, keluarga mangsa terus menghubungi pihak bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa yang bertindak agresif.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa ketika dihubungi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki tersebut berada di dalam perigi dan kelihatan agak tertekan.
"Kami cuba pujuk untuk minta dia naik. Dia agak berkeras dan agresif serta nampak keadaannya yang sakit sebab menahan pedih melecur di badan," katanya.
Beliau berkata, selepas 45 minit memujuk, akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan dari perigi dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!