MCCF kecam ADUN DAP pertikai tindakan PDRM

Halim Ishak
Halim Ishak
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mengecam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen kerana mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan membawa senjata api ketika menjalankan operasi pemantauan.

Pengerusinya, Datuk Halim Ishak turut kesal apabila banyak tohmahan dan kecaman dilontarkan kepada profesionalisme pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Menurutnya, isu itu tidak perlu dipolitikkan dan adalah amat memalukan apabila kenyataan 'kurang bijak' dan berbaur politik dikeluarkan seorang individu bertaraf wakil rakyat yang telah mengangkat sumpah sebagai ADUN di Dewan Rakyat untuk menguatkkuasakan kedaulatan undang-undang di dalam negara.

"MCCF turut memberikan teguran keras kepada mana-mana pihak yang ingin memburukkan nama baik PDRM selaku institusi tertua dan mencabar pihak polis yang menjalankan tugas mereka demi keamanan dan keselamatan rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Chin Chen mempersoalkan tindakan anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa senjata semasa menjalankan operasi pemantauan dalam tokong Cina adalah keterlaluan, biadab dan tidak sensitif.

ADUN DAP itu dalam satu kenyataan menerusi sebuah portal berita berkata, kehadiran pasukan keselamatan di tokong membawa senjata api secara tidak langsung menganggu para penganut untuk menjalankan kegiatan keagamaan.

Tambahnya, kejadian itu menggambarkan kerajaan PN menjalankan politik diktator dengan mengarahkan pihak polis dan tentera memeriksa rumah ibadat.

Dalam pada itu, Halim yang juga Veteran 69 Komando berkata, maruah veteran polis dan tentera juga seakan tercabar dengan kenyataan dilemparkan ke atas agensi pasukan keselamatan oleh pihak-pihak yang tiada semangat patriotisme dan jati diri.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada terdapat salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis maka sila tampil untuk membuat laporan polis agar mereka yang terlibat diambil tindakan yang setimpal," katanya.

Halim turut menyarankan agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd Hamid Bador tidak perlu memohon maaf serta respons ke atas desakan ADUN Bilut tersebut.

Sebaliknya, beliau menyarankan Abd Hamid mengambil tindakan lebih berani dalam menghapuskan semua penjenayah bersenjata api yang dilindungi oleh sindiket-sindiket aktiviti haram di negara ini.

Halim turut mengucapkan syabas dan menyokong tindakan serta keberanian pasukan polis Johor di bawah pimpinan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kerana berjaya menembak mati empat penjenayah bersenjata api baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!