14 'tahi judi' dicekup sabung ayam dalam kebun
IPOH - Polis menahan 14 lelaki yang terlibat dengan aktiviti sabung ayam dalam serbuan di sebuah kebun di Taman Impiana Adril, Menglembu di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua lelaki tempatan berusia 25 hingga 71 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11.45 pagi.
“Ketika serbuan kesemua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap setelah perjudian sabung ayam itu berlangsung lima kali.
“Siasatan awal mendapati ayam akan sabung selama 20 minit setiap pusingan dengan meletakkan pertaruhan bermula RM500 hingga RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, polis merampas lima ekor ayam sabung dalam lima sangkar yang masih hidup dan wang tunai RM25,078.
“Turut dirampas satu jam penggera digital, empat kerusi dan dua kertas kotak yang dijadikan gelanggang.
“Kesemua suspek turut dikenakan kompaun akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
A Asmadi berkata, permohonan reman akan dilakukan pada Rabu bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3(1) Langkah -Langkah Pencegahan Dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!