20 pengusaha dakwa rugi besar akibat kecurian benih kerang
SUNGAI BESAR - Kira-kira 20 pengusaha lot kebun kerang di Pesisir Pantai Sungai Besar di sini mendakwa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit akibat kegiatan mencuri benih kerang yang berleluasa lebih lima tahun lalu.
Pengusahanya, Kee Oie Song, 72, berkata, pendapatan kutipan kerang merosot teruk dan tidak setimpal dengan modal yang dikeluarkan pengusaha iaitu kira-kira RM500,000 bagi membeli benih untuk aktiviti penaburan induk kerang di lokasi pembiakan.
"Ada sebahagian peserta lot kerang terpaksa menjual rumah dan berhutang semata-mata ingin mendapatkan modal tetapi malangnya hasil pencarian kami pula dirompak pihak tidak bertanggungjawab selepas benih ditabur.
"Kegiatan ini semakin membimbangkan. Sebelum ini kami mampu mengeluarkan 80 guni kerang dewasa sehari tetapi sekarang 10 guni pun susah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Oie Song mendakwa, kegiatan itu berleluasa kerana dipercayai ada pihak yang menyeludupnya ke Thailand kerana harga benih kerang tinggi di negara itu.
Seorang lagi penternak, Chia Siw King, 70, berkata, lot kebun kerang yang diusahakannya secara bersama sebelum tahun 2008 itu menjadi sumber pendapatannya.
"Tetapi kini hasil kerang merosot. Kegiatan mencuri benih kerang tanpa kawalan itu dilakukan pihak terbabit menggunakan bot roto dan enjin bot melalui dasar tanah serta lumpur mengakibatkan kemusnahan kerang dewasa.
Siw King menjelaskan, kegiatan mencuri hidupan laut terutama pada waktu malam dan awal pagi itu dilakukan dalam kumpulan yang ramai hingga sukar dibendung.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bagan Sungai Besar, Sia Chock Sung berkata, Jabatan Perikanan diminta menangani segera isu pencerobohan lot kebun benih kerang.
Katanya, rondaan secara kerap dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dapat membanteras aktiviti itu daripada terus berleluasa.
"Saya menggesa Jabatan Perikanan mendengar keluhan penternak lot kerang yang mengalami kerugian kerana sikap tamak pihak tidak bertanggungjawab mencuri benih kerang secara tidak sah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan terbabit.
"Kami akan menjalankan risikan dan serius menangani kegiatan mengambil benih kerang di kawasan terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!