Kebajikan polis, siapa peduli?
WALAUPUN tidak bebas jenayah, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana masih boleh dapat tidur lena dan hidup dengan aman di negara kita. Kita boleh menjalankan aktiviti harian tanpa perlu gusar dengan ancaman bom sebagaimana di negara jiran kita. Yang pasti, anggota keselamatan negara, terutamanya tentera dan polis, memainkan peranan penting dalam memelihara ketenteraman awam.
Jika pasukan tentera bertanggungjawab menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar, anggota polis pula menjaga keselamatan dalam negara dengan memantau dan bertindak balas terhadap pelbagai aktiviti jenayah.
Sudah lumrah, anggota polis menghadapi pelbagai dugaan dan terdedah kepada bahaya dalam menjalankan tugas mereka. Oleh yang demikian, kebajikan mereka perlu dijaga dengan baik, demi kepentingan umum juga.
Laporan laman web FreeMalaysiaToday (FMT) baru-baru ini tentang kedaifan beberapa kuarters polis di Kuala Lumpur dan Selangor bagi saya adalah sesuatu yang membimbangkan. Sehingga artikel ini ditulis, laporan tersebut telah dikongsi oleh 13,700 pembaca.
Seperti yang dilaporkan, tinjauan FMT di salah sebuah kuarters di Selangor mendapati keadaan jalan di kawasan perumahan tersebut sangat menyedihkan dan membahayakan dengan terdapatnya empat lubang besar selebar kira-kira setengah meter pada sebatang lorong.
Jika benar apa yang dilaporkan, keadaan tersebut sememangnya berbahaya apatah lagi pada waktu malam terutama tanpa pencahayaan yang baik sekiranya lampu-lampu jalan juga rosak.
Pada 2016, sebuah akhbar tempatan juga telah membuat tinjauan di dua penempatan perumahan anggota polis, iaitu Flat Sri Wilayah, Jalan Sentul Manis dan Menara Sri Kemboja, Setiawangsa. Wartawannya menggambarkan keadaan bangunan kediaman di kedua-dua kuarters tersebut sebagai menyedihkan dengan cat yang luntur dan jeriji besi balkoni yang berkarat.
Mereka juga mendapati hanya satu lif yang berfungsi di setiap blok dan kerosakan lif telah berlarutan selama lapan bulan. Keadaan ini sangat tidak boleh diterima! Pasti ada golongan yang sudah berusia serta wanita hamil. Bagaimana jika terdapat kecemasan?
Saya masih ingat pada akhir 1980-an ketika bersekolah di Maktab Tentera Diraja, saya sering bermalam di kuarters polis di Kepong pada hujung minggu memandangkan kampung jauh di Tumpat, Kelantan. Saya bermalam di rumah bapa saudara yang bertugas di sana. Keadaan kuarters di Kepong ketika itu sangat memuaskan. Dalam laporan akhbar berkenaan, wartawan terbabit memuji kuarters polis di Sungai Besi yang menurutnya boleh dijadikan contoh terbaik.
Sebagai orang awam yang amat menghargai jasa dan pengorbanan polis, sangat berharap tindakan segera diambil untuk membaiki segala kerosakan infrastruktur di kuarters polis di seluruh negara agar mereka dapat hidup dengan selesa.
Sebagaimana yang saya pernah tulis terdahulu, kerjaya sebagai polis berisiko tinggi. Sebaik sahaja mereka menyarungkan pakaian seragam polis, boleh dikatakan nyawa mereka menjadi pertaruhan. Mereka perlu berhadapan dengan apa jua keadaan demi membanteras jenayah dan menjaga keselamatan umum.
Maka, apa salahnya mereka mendapat sedikit keselesaan setelah penat bekerja menjaga ketenteraman awam? Mungkin sudah tiba masanya diwujudkan satu kementerian khas untuk PDRM sebagaimana ATM di bawah Kementerian Pertahanan.
Saya lihat terlalu banyak agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan ini menyebabkan tiadanya perhatian khusus kepada PDRM sedangkan mereka merupakan agensi penguat kuasa terbesar negara. Mungkinkah sebab ini juga perumahan anggota tentera dilihat lebih baik daripada kuarters polis?
Saya percaya pewujudan kementerian khas ini akan dapat memperbaiki tadbir urus institusi kepolisan secara keseluruhannya termasuk menangani isu aduan salah laku.
Selain itu, saya juga ingin sekali lagi menyeru agar kerajaan mempertimbangkan perlindungan takaful khas untuk anggota polis. Perlindungan takaful ini sedikit sebanyak boleh membantu anggota polis dan keluarga mereka jika berlaku kemalangan dan mereka juga boleh mendapat imbuhan tertentu sekiranya ditakdirkan mendapat penyakit ketika masih dalam perkhidmatan.
Akhir kalam, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada rakan sekolah saya, DSP Zaiham Mohd Kahar, yang baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) di UKM baru-baru ini. Semoga terus tabah dan bersemangat berkhidmat untuk negara.
* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!