Kertas siasatan kes gangguan seksual di SJR dijangka siap minggu ini

Saiful Azly Kamaruddin
Saiful Azly Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Duta dijangka siap minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya sudah selesai mengambil keterangan semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

"Kita telah merakam percakapan petugas-petugas SJR, manakala video yang dirakam oleh wanita terbabit akan dijadikan sebagai bukti.

"Kita akan menyiasat seadil-adilnya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara selepas selesai siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis bersama pesara dan bekas polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Rabu.

Saiful Azly berkata, siasatan kes itu akan disegerakan bagi mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dengan kejadian berkenaan.

"Anggota polis yang terbabit sudah ditarik keluar daripada penugasan di SJR berkenaan. Setakat ini tiada unsur tohmahan terhadap anggota itu," katanya.

Pada Sabtu lalu, seorang wanita mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis di SJR Jalan Duta ketika dalam perjalanan pulang dari Wangsa Maju ke Shah Alam.

Video berkenaan tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang mahu tindakan segera diambil oleh pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!