Lelaki jadi buta akibat dipukul rakan

Suspek (kiri) ditahan selepas disyaki menyebabkan mata rakannya (kanan) buta kekal dalam kejadian di Kampung Binunuk, Beaufort.
Suspek (kiri) ditahan selepas disyaki menyebabkan mata rakannya (kanan) buta kekal dalam kejadian di Kampung Binunuk, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang lelaki buta mata kanan selepas disyaki dipukul menggunakan batang penyapu dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Binunuk, dekat sini.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 12 Februari lalu tetapi laporan polis hanya dibuat pada Selasa oleh ibu mangsa selepas mengetahui kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, menurut laporan pengadu berusia 63 tahun itu, mata kanan anaknya yang berusia 39 tahun itu buta akibat dipukul menggunakan sebatang penyapu oleh rakannya.

"Warga emas itu menerima panggilan daripada anaknya kira-kira jam 9 pagi yang memaklumkan baru selesai menjalani pembedahan mata kerana cedera dipukul seorang lelaki dengan menggunakan batang penyapu selain memberitahu mata itu tidak boleh melihat lagi.

"Susulan laporan itu, siasatan lanjut dilakukan terhadap mangsa yang sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (QEH), Kota Kinabalu.

"Mangsa memberitahu punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa tidak melawan ketika dimarah oleh mandur tempatnya bekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azmir berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suspek minum bersama di rumah suspek sebelum dia dicabar suspek sambil mematahkan sebatang penyapu.

"Mangsa mahu beredar dari rumah suspek tetapi ketika mahu keluar dari rumah itu, suspek tiba-tiba terus memukulnya sekali di bahagian muka dan terkena di bahagian mata sebelah kanannya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian terus melarikan diri ke rumah jiran berdekatan untuk meminta pertolongan," katanya.

Azmir berkata, hasil keterangan daripada doktor yang menjalankan pembedahan turut mengesahkan mata mangsa yang cedera telah rosak dan akan mengalami kecacatan kekal.

Justeru katanya, bertindak daripada keterangan mangsa, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan pada jam 8.30 malam pada Selasa, namun berdasarkan siasatan suspek menafikan ada memukul mangsa ketika kejadian itu.

"Sehubungan itu, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!