Al-Quran bukan buku

A
A
A

KITA biasanya bila dengar bahawa al-Quran adalah “Dzaalikal Kitab” (kitab itu), kita akan terbayang ia sebuah buku yang kita sedang pegang dan dibuat binding. Tapi cuba muhasabah balik imaginasi ini.

Al-Quran diturunkan berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Maknanya sebelum 23 tahun, al-Quran bukan sebuah buku lagi kerana ia belum lengkap. Kertas pun belum digunakan masa itu.

Kamus Arab memberi beberapa takrifan untuk perkataan kitab. Salah satu daripadanya ialah ia bermakna mesej. Muhammad Asad telah mentafsirkan bahawa Al-Kitab adalah bermakna “wahyu yang diturunkan oleh Tuhan”. Wahyu atau mesej tidak semestinya bermakna ia dibukukan. Contohnya bila dikatakan bahawa Kristian adalah Ahlul Kitab, ia hanya bermakna bahawa Kristian adalah kaum yang sudah diberi wahyu dan wahyu ini tidak semestinya dibukukan.

Oleh kerana wahyu yang diberi kepada Nabi Isa A.S tidak dibukukan, maka umat Kristian beratus tahun kemudian, selepas terangkatnya Nabi Isa A.S, berdebat antara satu sama lain di Council of Nicea tentang apa kandungan yang perlu dibukukan sebagai Injil. Maknanya Injil sebagai sebuah buku yang lengkap di tangan dan siap binding tidak wujud sebelum ini.

Maka, Ahlul Kitab adalah bermakna Ahli Wahyu Yang Terdahulu. Bila Nabi SAW ditanya tentang buku Injil yang dimiliki oleh Ahlul Kitab, Baginda memberi isyarat bahawa jangan tolak apa-apa dan jangan terima apa-apa. Maknanya bersikap neutral sebab ada kandungannya memang wahyu dan ada yang sudah diubah.

Maka adalah kesilapan yang besar kalau Muslimin mengatakan bahawa buku Gospel atau biasanya diterjemahkan sebagai buku Injil adalah INJIL yang sebenar iaitu wahyu 100%. Walaupun namanya diberi buku Injil, ia tetap buku yang dikumpulkan pada Council Of Nicea, bukan oleh Nabi Isa A.S atau sahabat-sahabat Baginda.

Bagaimana dengan al-Quran? Al-Quran juga dikenali sebagai al-Kitab tetapi ia bermakna “wahyu yang tertulis di Lauh Mahfuz”. Wahyu ini pada mulanya dihafal dan disimpan di dada-dada hufaz atau penghafal, tetapi kadang-kadang ditulis pada batu, kayu, papyrus dan lain-lain. Tiada kertas zaman itu. Tetapi sumber utama ialah penghafalan.

Ada pihak yang meragui kesahihan al-Quran kerana tidak yakin dengan penghafalan. Pihak ini sebenarnya menilai dari perspektif budaya kekertasan atau kebukuan. Zaman moden adalah zaman kertas dan kebukuan. Bahkan zaman kertas pun dah mula digantikan oleh skrin!

Artikel Berkaitan:

Zaman moden ini menilai kualiti ilmu seseorang berdasarkan kertas ijazah yang dia miliki. Lagi banyak kertas dia miliki, lagi laku dia di pasaran kerja. Maka timbullah isu politik bila kertas ijazahnya diragui kesahihan. Ramai yang sanggup beli kertas ijazah demi buktikan kualiti ilmunya. Tapi persoalannya ialah kalau pun kertas ijazah seseorang itu sahih, sejauh manakah ia benar-benar melambangkan kesahihan kualiti ilmu individu berkenaan?

Katakan seseorang mendapat markah penuh atas kertas ijazah dalam subjek Moral, maka adakah dia benar-benar seorang yang bermoral? Kalau dia mendapat kertas ijazah cemerlang dalam agama, sejauh manakah dia benar-benar orang yang berpegang pada agama?

Ramai yang tidak tahu bahawa para hufaz zaman Nabi SAW dan sahabat bukan sekadar dianggap hufaz atau hafiz kerana mereka mampu hafal al-Quran, tapi mereka juga dinilai berdasarkan pada aqidah dan akhlak mereka. Maknanya kalau mereka sekadar hafal al-Quran tetapi menyertai golongan sesat Khawarij, mereka tidak akan dipanggil hafiz. Kalau seseorang itu hafal seluruh al-Quran tetapi berzina, dia tidak dianggap sebagai hafiz.

Hafiz bermakna “yang memelihara” iaitu yang memelihara hafalannya dan dirinya. Al-Quran bukan buku yang diletakkan di rumah sebagai tangkal halau hantu. Ia adalah mukjizat yang mengubah diri, keluarga dan dunia.

Hanya kerana kita letak al-Quran di rak buku bersama buku-buku lain tidak merendahkan martabat al-Quran dan hanya jika kita menjadikannya mukjizat hidup kita yang jauh lebih berharga dari segala isi kandungan dunia.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!