Produktiviti buruh Malaysia susut

Produktiviti buruh Malaysia terus susut kepada -2.9 peratus pada suku keempat 2020 daripada -2.2 peratus pada suku ketiga tahun sama. - Foto 123RF
Produktiviti buruh Malaysia terus susut kepada -2.9 peratus pada suku keempat 2020 daripada -2.2 peratus pada suku ketiga tahun sama. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Produktiviti buruh Malaysia terus susut kepada negatif 2.9 peratus pada suku keempat 2020 daripada negatif 2.2 peratus pada suku ketiga tahun yang sama berikutan krisis kesihatan serta pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, produktiviti buruh kekal dalam trend menurun bagi empat suku berturut-turut, mencatatkan angka tersebut pada suku keempat 2020 bagi merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM23,570 per pekerja.

“Pada suku ini, jumlah pekerja berkurangan 0.6 peratus (suku ketiga 2020: -0.4 peratus) kepada 15.2 juta orang sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2020 menguncup 3.4 peratus (suku ketiga 2020: -2.6 peratus),” katanya dalam kenyataan bagi Produktiviti Buruh Suku Tahun Keempat 2020 yang dikeluarkan DoSM pada Rabu.

Beliau berkata, pada suku keempat tahun lepas, jumlah jam bekerja turun 2.7 peratus selaras dengan waktu operasi perniagaan yang lebih singkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, merekodkan jumlah jam bekerja sebanyak 8.6 bilion jam.

Ini menyebabkan produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turun sedikit 0.8 peratus kepada RM42 per jam setelah meningkat marginal 0.1 peratus (RM41 per jam) pada suku ketiga 2020, katanya.

Menurut DoSM mengikut sektor ekonomi, pembuatan merupakan satu-satunya yang mencatatkan pertumbuhan pada 3.2 peratus (suku ketiga 2020: 3.7 peratus) bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja.

Di samping itu, hampir kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan dalam produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini kecuali pembuatan yang terus mencatatkan kenaikan 6.0 peratus (suku ketiga 2020: 7.0 peratus), jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai keseluruhan prestasi produktiviti buruh bagi 2020, Mohd Uzir berkata, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja jatuh 5.4 peratus daripada 2.1 peratus pada 2019 berikutan krisis kesihatan dan pelbagai fasa PKP.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, nilai ditambah per pekerja pula sebanyak RM88,899 per pekerja (2019: RM93,973 per pekerja).

“Sebaliknya, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada 2020 meningkat 3.4 peratus (2019: 2.2 peratus) dengan nilai RM42 per jam (2019: RM41 per jam).

“Jumlah jam bekerja pada 2020 adalah sebanyak 32.0 bilion jam (2019: 35.0 bilion jam), berkurangan 8.7 peratus (2019: 2.1 peratus).

"Sepanjang tahun ini, prestasi ekonomi yang ditunjukkan melalui nilai ditambah, jatuh kepada 5.6 peratus (2019: 4.3 peratus) manakala pekerja jatuh 0.2 peratus (2019: 2.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata, sebagai rumusan, pandemik ini menyebabkan perniagaan perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi.

Menerusi penggunaan teknologi, ia akan menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka sederhana dan panjang, katanya.

“Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan, dan dengan itu akan mengekalkan perniagaan serta pekerjaan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!