Bahang pilihan raya Thailand bermula

A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Kerajaan junta Thailand, semalam menafikan khabar angin mengenai kemungkinan rampasan kuasa selepas dokumen palsu tersebar di media sosial pada akhir minggu lalu.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha yang menggulingkan pentadbiran bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra pada 2014 menyifatkan khabar angin tersebut sebagai 'berita palsu' selain mengesahkan berita pemecatan ketua tentera sebagai tidak benar.

"Khabar angin? Perkara itu sedang disiasat dan pelaku akan dihukum," tegasnya.

Sejak kelmarin, hashtag #ThaiCoup telah menjadi trending di Twitter selepas dokumen palsu itu dimuat naik di media sosial.

Tidak hanya dokumen palsu itu mendapat perhatian pengguna media sosial.

Sebuah lagi dokumen rasmi yang mengarahkan polis antirusuhan berkawal di mercu tanda di wilayah Phichit turut dibocorkan secara atas talian pada Sabtu lalu.

Polis bagaimanapun menyatakan penempatan pasukan tersebut adalah sebagai rutin biasa.

Khabar angin itu terus menjadi topik hangat diperkatakan pengguna media sosial selepas mereka turut berkongsi gambar kereta kebal tentera di sekitar jalan utama pada akhir minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa segera mengesahkan ia digunakan untuk mengangkut meriam sebagai persediaan menjelang latihan ketenteraan tahunan, Cobra Gold.

Desas desus itu bertiup kencang selepas pendaftaran pencalonan Puteri Ubolratana Mahidol untuk bertanding jawatan perdana menteri dalam Pilihan Raya Umum pada 24 Mac depan, namun keputusan itu ditolak Raja Maha Vajiralongkorn.

Beliau menyifatkan pencalonan kakaknya adalah 'tidak sesuai' dan bertentangan semangat Perlembagaan untuk keluarga diraja terlibat dalam dunia politik.

Susulan itu, pencalonan Puteri Ubolratana telah disekat Suruhanjaya Pilihan Raya.

Keputusan mengejut Puteri Ubolratana, 67, untuk bertanding di bawah Parti Thai Raksa Chart yang dikaitkan dengan Thaksin Shinawatra tidak kesampaian selepas beliau dilarang terlibat dalam pemilihan tersebut.

Parti Thai Raksa Chart terpaksa akur dengan perintah tersebut, namun parti terbabit kini berdepan tekanan kerana mungkin bakal dibubarkan jika Suruhanjaya Pilihan Raya mendapati penggunaan nama Puteri Ubolratana melanggar Perlembagaan.

"Saya rasa pemimpin dan lembaga parti itu perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan," kata jurucakap kumpulan aktivis, Persatuan Perlindungan Perlembagaan, Srisuwan Janya yang telah mengemukakan petisyen kepada pihak berkuasa pilihan raya.

Situasi menjelang pilihan raya di negara itu makin panas selepas tarikh pemilihan terbabit telah ditangguhkan beberapa kali oleh junta tentera.

Ketua tentera Thailand mempunyai kecenderungan untuk melakukan rampasan kuasa dan perjuangan faksi.

Mereka telah merampas kuasa sebanyak 12 kali sejak berakhirnya pemerintahan monarki mutlak pada 1932.

"Tolong #NoMoreCoup (tiada lagi rampasan kuasa) di negara ini," kata salah seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi pengguna laman blog mikro itu berkata, 'Saya berharap hanya akan ada #election2019 (pilihan raya 2019)'. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!