600 pendaftaran wakili Dewan Belia Perak

Saarani melancarkan Dewan Belia Perak secara maya pada Rabu. Foto Ihsan SUK Perak.
Saarani melancarkan Dewan Belia Perak secara maya pada Rabu. Foto Ihsan SUK Perak.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menyasarkan seramai 600 calon yang akan berdaftar untuk mewakili 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi Dewan Belia Perak yang Ketiga 2021/2022 yang dijangka bersidang pada penggal kedua tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pendaftaran bagi pencalonan perwakilan dan pengundi telah bermula pada Rabu dengan menggunakan platform secara dalam talian sepenuhnya.

Menurutnya, terdapat beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dilakukan dalam struktur Dewan Belia Perak pada sesi kali ini.

“Setiap DUN mempunyai wakil daripada golongan belia dan fokus kepada lapan kumpulan iaitu belia bersekolah, belia pengajian tinggi, belia berkerjaya, perkumpulan belia, belia massa, belia Malaysia antarabangsa, belia minoriti dan belia berisiko.

“Dewan Belia Perak akan bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam setahun selain usul yang dibentang, dibahas dan diluluskan dalam sidang Dewan Belia Perak harus diangkat oleh perwakilan sebagai projek yang perlu dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Dewan Belia Perak secara maya di sini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria sebagai Speaker Dewan Belia, manakala, Aswannudin Hariffudin dan Muhammad Ariff Zaky Mohd Zolkafly sebagai Timbalan Speaker 1 dan 2.

Saarani berkata, belia memainkan peranan penting dalam rantaian pembangunan negeri sama ada dari sudut ekonomi, sosial dan politik serta pemangkin kepada kemajuan negeri.

“Dewan Belia ini menjadi platform penting untuk anak muda melontarkan idealisme yang membina dan memakmurkan negeri. Bersuaralah terutamanya dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Lontarkan idea-idea segar bagi menangani isu kemiskinan, kesenjangan pendapatan, pengangguran, lonjakan kos sara hidup atau apa jua kekangan yang menghambat kehidupan rakyat terutamanya dalam suasana kita berperang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!