Covid-19: 622 individu dari IPK Johor dikuarantin

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 622 individu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sudah dikuarantin sejak Mac lalu sehingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu termasuk 318 yang positif Covid-19 melibatkan pegawai seramai 26 orang, anggota (158), kakitangan awam (23) dan ahli keluarga (111).

"Seramai 304 melibatkan kontak rapat positif dikuarantin terdiri daripada pegawai (56), anggota (152), kakitangan awam (47) dan ahli keluarga (49)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Rabu.

Selain itu, beliau mengesahkan terdapat satu kluster baharu melibatkan pusat pentadbiran awam di Bukit Senyum, Jalan Terbaru di sini.

Menurutnya, kluster itu dikesan pada 7 Februari lalu daripada seorang individu sebelum ujian saringan mendapatinya positif Covid-19.

"Selepas individu itu disahkan positif susulan ujian saringan Covid-19 djalankan pada 10 Februari, kita dapat buat pengesanan kontak rapat kepada individu berkenaan.

"Susulan itu, kita mendapat 38 individu lagi positif Covid-19 yang merupakan kluster dari pejabat tersebut," katanya.

Mengenai perkembangan siasatan kes empat penjenayah ditembak mati di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Batu Pahat pada Jumaat lalu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan cap jari.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laporan tersebut penting untuk memastikan penjenayah warga asing itu dari negara mana termasuk sama ada terlibat dalam aktiviti pecah kilang dan pejabat di daerah lain selain Batu Pahat.

"Ini termasuk juga sama ada mereka terlibat kes pecah kilang dan pejabat di negeri lain atau di negeri lain juga. Laporan cap jari akan memakan masa, nanti kita akan maklumkan, tiada apa yang akan disembunyikan," katanya.

Dalam kejadian pada jam 3.15 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah kenderaan Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza bertindak agresif apabila pemandunya mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sebelum polis melepaskan tembakan balas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!