Kegiatan korek pasir ancam penduduk
JITRA - Penduduk Kampung Wang Tepus di sini, bimbang apabila kegiatan korek pasir yang beroperasi di kampung mereka menyebabkan berlaku hakisan tebing sungai.
Seorang penduduk, Abdul Ghani Hamzah, 60, berkata, hakisan tebing Sungai Padang Terap itu berlaku sangat cepat kesan daripada kegiatan berkenaan.
Katanya, sejak beroperasi dua tahun lalu, rata-rata penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai tak lena tidur memikirkan keselamatan mereka.
"Kalau ikut bahaya, memang bahaya sebab tebing ini cepat sangat runtuh, kalau duk biar depa pam lagi pasir ni, tak mustahil rumah kami pun terjejas," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut seorang penduduk, Ismail Shadan, 51, kegiatan korek pasir itu telah menjejaskan struktur pencawang elektrik di kampung berkenaan.
"Lokasi korek pasir ini terlalu hampir dengan pencawang elektrik, bila depa duk pam, tiang pencawang tu makin hari makin mendap.
"Kalau kita tengok, wayar pencawang tu pun dah kendur, berapa meter saja lagi nak cecah air sungai.
"Kalau duk biar lama-lama tak mustahil tiang itu pun tumbang, yang susah nanti bukan penduduk kampung ini saja, malah turut melibatkan penduduk sehingga ke Kuala Nerang," katanya.
Ismail juga kesal apabila lori mengangkut pasir tidak mengikut prosedur ditetapkan.
"Setahu saya, lori ini hanya boleh angkut pasir jam 8 pagi tapi yang kita nampak belum jam 8 pagi lagi, depa dah angkut.
"Sedangkan waktu itu, sibuk dengan budak-budak yang nak pi sekolah, memang bahaya.
"Jadi, kami penduduk di sini harap sangat kegiatan korek pasir ini dapat diberhentikan segera. Kami tak mahu berlaku kejadian tidak diingini sehingga melibatkan nyawa," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Wang Tepus, Osman Saad berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada penduduk yang tidak bersetuju dengan kegiatan tersebut.
"Bayangkan rumah penduduk paling hampir dengan kegiatan korek pasir itu cuma 50 meter, sudah pasti ia mengancam keselamatan mereka.
"Sebelum korek pasir dilaksanakan, tak ada pula pihak tampil minta persetujuan penduduk, sepatutnya kena tanya dulu penduduk kat sini,"katanya.
Osman berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini turut mengeluarkan arahan agar operasi korek pasir ini dihentikan kerana menjejaskan struktur pencawang berkenaan.
"Tapi malangnya, tak ada pula tanda-tanda ia akan berhenti. Jadi saya harap kerajaan dan pihak berwajib akan mengambil tindakan segera.
"Janganlah kita hanya pandang dari sudut keuntungan, sedangkan penduduk terpaksa menanggung akibatnya," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah yang juga Adun Jitra, Hasanudin Samsudin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan kepada agensi terlibat termasuk pejabat tanah daerah dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!