Penternak lembu jatuh sungai ditemukan lemas
KUALA NERUS - Seorang penternak lembu yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Jeram di sini ditemukan lemas pada petang Rabu.
Mangsa, Muhammad Aidil Che Ramli, 20, ditemukan pasukan penyelamat di air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu kira-kira jam 4.37 petang.
Mayat mangsa ditemui di dasar sungai di lokasi terakhir mangsa terjatuh iaitu kira-kira 7.6 meter dari tebing sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.33 petang.
"Sejurus terima panggilan, seramai 27 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di lokasi, seramai tujuh anggota melakukan pencarian dengan melakukan selaman di kawasan sungai tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!