Ebit Lew mahu beli gudang atau tanah untuk anjing, kucing Mak Intan

Ebit (kiri) turut membantu memberikan makanan kepada anjing di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar pada Rabu. FOTO FACEBOOK EBIT LEW
Ebit (kiri) turut membantu memberikan makanan kepada anjing di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar pada Rabu. FOTO FACEBOOK EBIT LEW
A
A
A

ALOR SETAR - Penceramah terkenal, Ebit Lew merancang membeli gudang ataupun tanah di sekitar Alor Setar bagi menempatkan anjing dan kucing dari Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara dekat sini.

Menurutnya, beliau menyifatkan Pengurus Pak Mie Shelter, Allahyarham Halijah Idris, 73, yang meninggal dunia seminggu lalu akibat kanser ovari dan anak-anaknya yang menguruskan pusat haiwan tersebut sebagai insan yang terpilih.

"Kasihan tengok 300 ekor anjing dan 130 kucing yang ada kat sini. Mak Intan (Allahyarham Halijah) baru je meninggal dunia minggu lepas kerana kanser.

"30 tahun kutip anjing dan kucing sakit. Ubati, beri makan, dan tempat tinggal. Ramai yang hantar pada mereka. Kini seminggu anaknya menyambung usaha ibu bapa mereka. Beri makanan untuk anjing dan kucing ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Rabu.

Tambah Ebit, beliau ada berbincang dengan anak-anak Mak Intan dan menjelaskan mahu membantu keluarga tersebut.

"Tadi berbincang dengan keluarga arwah Mak Intan. Baik anak-anak Mak Intan. Terpilih buat kerja begini. Dah lewat petang. Saya nak 'sponsor' tempat bagi semua anjing dan kucing ini.

"Terima kasih semua yang menyokong perjuangan Mak Intan dan keluarga. Terima kasih semua pimpinan masyarakat dan masyarakat sekitar," katanya.

Pada 29 Januari lalu, media melaporkan Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter yang menguruskan hampir 400 ekor anjing dan 180 ekor kucing di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini pening memikirkan lokasi baharu apabila diarahkan berpindah oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Artikel Berkaitan:

Pemindahan perlu dilakukan bagi memberikan laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kota Setar.

MBAS melalui satu kenyataan terbaharu pada 11 Februari lalu berkata, pusat itu akan dipindahkan ke penempatan sementara di Jeragan di atas tanah miliknya dan Pak Mie Shelter diberikan hak untuk mengurus tadbir tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini selama tempoh enam bulan bermula pada 15 Februari hingga 14 Ogos.

ARTIKEL BERKAITAN: Pening fikir kediaman baharu 400 anjing, 180 kucing

Kontraktor bantu bina penempatan sementara anjing, kucing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!