Masyarakat kurang aktiviti fizikal
JELI - Kurang melakukan aktiviti fizikal dikatakan antara punca peningkatan penyakit tidak berjangkit di negara ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin berkata, perubahan situasi termasuk penggunaan mesin dalam kerja harian menyebabkan aktiviti fizikal semakin berkurangan.
"Dari segi peningkatan, ia bukan sahaja di Kelantan tapi seluruh negara dan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk stres, pemakanan dan aktiviti fizikal yang semakin berkurangan.
"Kalau masyarakat dulu, mereka sentiasa menjalankan aktiviti fizikal. Pekerjaan dilakukan banyak bergantung kepada fizikal," katanya.
Terdahulu Zaini menghadiri Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Negeri Kelantan dan Ambo Nok Sihat Sokmo Daerah Jeli 2018 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai tahap kesedaran, Zaini berkata, ada peningkatan dari aspek berkenaan jika dibandingkan dengan sebelum ini.
"Cuma ia perlu ditingkatkan lagi supaya risiko-risiko terus dapat dikurangkan, kalau kita tengok sekarang aktiviti- aktiviti seperti berbasikal telah menjadi satu aktiviti yang popular dan mendapat sambutan, begitu juga dengan Kempen 10, 000 Langkah, memang mendapat sambutan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!