Cikgu Anita takluk dunia dengan motosikal
PESONA figura Anita Yusof atau lebih dikenali sebagai Cikgu Anita yang mencatat nama sebagai pengembara solo wanita bermotosikal ternyata menjadi kebanggaan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Anak Kandung Suluh Budiman.
Kejayaan pada tahun 2015 itu bukan sahaja menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa malah telah memberi lembaran baru kepada warga Ibu Kandung Suluh Budiman bahawa ‘terbang ke langit’ bukan lagi angan-angan malah impian yang boleh digapai asalkan ada kesungguhan.
“Ia merupakan hadiah dan sumbangan saya buat rakyat dan Malaysia. Saya mahu dikenali sebagai wanita Islam pertama yang mengembara solo menaiki motosikal,” katanya pada sesi perkongsian Siri ‘Alumni Talk era UPSI bersama Cikgu Anita’ yang bersiaran menerusi Facebook Live Pusat Alumni baru-baru ini.
Anita memenuhi impian itu dengan menaiki motosikal jenis Yamaha FZ150i merentasi 40 buah negara sejauh 65,000 kilometer sejak meninggalkan Malaysia pada 10 September 2014.
Merupakan seorang pensyarah, Anita adalah ibu kepada dua cahaya mata yang dahagakan cabaran dan kerap mengembara berseorangan secara backpack ke merata dunia.
Bermula dengan niat mahu keluar daripada kemelut konflik kehidupan, sehinggalah mahu meneroka potensi yang ada pada diri, wanita cekal itu telah menjelajah seluruh dunia dengan menunggang motosikal.
Agak janggal bagi sesetengah orang, apatah lagi status dirinya seorang wanita namun Anita membuktikan apa yang orang lain sanggah, beliau mampu melakukannya.
Pada 2012, perjalanan beliau sekadar sekitar Asia Tenggara sahaja tetapi kemudiannya satu pengembaraan yang lebih besar dirancang, iaitu tunggangan solo Asia Tengah yang melalui lima negara iaitu Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan dan Kazakhstan.
Dalam masa sekitar 30 hari, Anita berjaya melengkapkan misinya dan sejak itu, beliau mula dikenali dalam kalangan penunggang motosikal.
Menariknya, ekspedisi itu dilakukan selepas 43 hari beliau belajar menunggang motosikal!
11 September 2015 mencatatkan tarikh keramat bagi Anita kerana pada hari itu beliau meninggalkan rumahnya di Ipoh dan memulakan pengembaraan bermotosikal secara solo ke seluruh dunia yang beliau panggil sebagai ‘Global Dream Ride’.
Motosikal Yamaha FZ150i yang digunakan Anita diterbangkan ke Seattle, Amerika Syarikat dan pengembaraan bermotosikal beliau bermula dari situ.
“Pada mulanya saya hanya menjelajah ke negara Eropah dengan menggunakan pengangkutan awam pada tahun 2002 secara backpacking. Ketika banyak kemudahan teknologi maklumat boleh dicapai, saya mula mendapat banyak maklumat kembara daripada ramai penulis blog tanah air.
“Saya mendapat inspirasi melalui salah sebuah blog kembara yang mengelilingi dunia dengan berbasikal saja. Melalui blog tersebut saya mula menggerakkan daya untuk mencuba mengembara menggunakan motosikal pula,” katanya.
Pada asalnya, kata Anita, dia mahu mengembara ke lokasi blogger tersebut nyatakan dalam tulisannya apatah lagi bila melihat gambar yang indah di bumi Kyrgystan yang dirakamkan.
Namun kerana kos yang tinggi untuk backpacking kerana kawasan tersebut sukar diakses menggunakan pengangkutan awam, terbitlah idea menggunakan motosikal untuk mengembara.
“Saya nekad untuk teruskan ekspedisi menjelajah seluruh dunia pada tahun 2015 dengan membawa misi ‘Global Dream Ride’ dengan menjelajah benua Amerika di Seattle seterusnya ke seluruh Amerika Utara, Eropah dan seterusnya ke benua Asia,” katanya.
Dalam Global Dream Ride, Anita melalui 40 buah negara dalam 4 benua dan ini termasuklah negara yang cukup merbahaya seperti Mexico, Colombia, Chile Turkey dan Mongolia.
Beliau juga tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada syarikat besar dan membelanjakan wang sendiri sekitar RM100,000 semata-mata untuk memenuhi impian mengelilingi dunia secara sendiri dengan menunggang motosikal.
Pegang banyak rekod
Jadi tidak hairan wanita ini menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk memegang dua rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggang solo ke lima negara di Asia pada 2013.
Selain wanita pertama negara menunggang solo mengelilingi dunia dan mencatat nama dalam Asia Book Of Records sebagai wanita menunggang paling lama secara solo mengelilingi dunia.
Selain itu, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dipilih sebagai Ikon Negaraku.
Bukan itu sahaja beliau turut diundang untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya di dalam serta luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan Dubai.
Kembaranya hampir keseluruhan benua sekali gus membawa semarak api semangat sambutan 100 tahun penubuhan institusi keramat UPSI.
“Sekiranya ada sumbangan yang baik boleh disumbangkan pada tempat pengajian, ayuh kita lakukan bersama-sama. Rajin-rajinlah menjengah ke universiti, paling tidak pun ke laman sosial seperti Facebook kerana melalui medium perkongsian, di situlah kita boleh tampilkan diri dan beri sumbangan baik kepakaran dan wang ringgit,” katanya.
Fakta Cikgu Anita
- Ibu tunggal dengan dua orang anak, berasal dari Batu Pahat, Johor
- Bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh
- Jurulatih pendidikan Luar dan Jurulatih Olahraga
- Ahli Profesional Semasa – Malaysia Music Authors Copyright (MACP)
- Pemegang Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Sains Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris 2003
- Pemegang Sarjana Pendidikan Jasmani (Universiti Malaya)
- Hadiah Latihan Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia 2007
- Malaysia Book of Records – First Solo Motorcycle Ride Across The World, 2016
- Asia Book of Records – Longest Solo Motorcycle Ride Across The World, 2017
- Anugerah Inspirasi Hari Wanita Sedunia (Moto & Gincu), 2017
- Anugerah Tokoh Biker Madani (NVOG) Islamic Bike Fest 2017
- Anugerah Ikon Negaraku (Jabatan Perdana Menteri ) 2017
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!