Luahan Dr Mahathir

Bual bicara eksklusif Bersama Tun M.
Bual bicara eksklusif Bersama Tun M.
A
A
A

[MUKADIMAH] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil dalam program ‘Bersama Tun M’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Rabu.

Dalam temubual selama lebih satu jam itu, beliau menyentuh pelbagai perkara termasuk isu perjuangan beliau, politik hari ini, perasaan terhadap UMNO dan isu rasuah yang semakin menjadi-jadi.

Wawancara itu dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. Ikuti transkrip penuh temu bual berkenaan.

Johan menemubual Dr Mahathir dalam wawancara Bersama Tun M di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Johan menemubual Dr Mahathir dalam wawancara Bersama Tun M di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

JOHAN JAAFFAR: Tun mengatakan perintah darurat oleh kerajaan tidak sah dan tidak mengikut undang-undang. Perdana menteri tentu ada penasihat undang-undang yang patut menasihatkannya. Bagaimana perkara ini boleh berlaku kalau betul pengisytiharan itu tidak sah?

DR MAHATHIR: Penasihat adalah penasihat. Tak bermakna dia memberi arahan. Ada orang yang kalau dinasihati dia tidak mengikut nasihat itu. Dia buat keputusan sendiri. Saya akui saya juga begitu di mana saya dinasihati oleh ramai orang ada yang saya tolak. Saya buat kenyataan sendiri.

Jika begitu, adakah betul pandangan Tun bahawa pengisytiharan darurat itu tidak sah dan tidak mengikut undang-undang?

Saya tidak nampak apa sebabnya kita perlu kuasa yang lebih kerana setakat yang saya lihat dan saya tahu, kita tidak perlu kepada kuasa yang lebih daripada kuasa yang sudah diperuntukan oleh undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Kalau kita kaji, kita akan dapati bahawa semua tindakan itu mengikut undang-undang. Selepas diisytihar darurat pun tak ada tindakan yang lebih daripada apa diperuntukkan oleh undang-undang biasa. Darurat itu tidak perlu sama sekali.

Salah satu daripada perkara dilihat rakyat hari ini, bagi mereka asalkan soal Covid-19 dapat ditangani dengan baik, ada makanan atas meja, cukuplah. Mereka tidak peduli sama ada darurat itu sah atau sebagainya. Apa pandangan Tun?

Kita tidak guna darurat bukan kerana kita kurang bebas tetapi bila kita disebutkan darurat, ramai yang rasa bahawa undang-undang biasa tidak berkuatkuasa lagi. Ini kita dapat lihat yang mana setelah diisytihar darurat, Parlimen tidak boleh bersidang dan banyak lagi sekatan-sekatan sehingga ada dalam gazet disebut bahawa kalau kerajaan rampas sesuatu, orang yang menjadi mangsa tidak boleh bawa kesnya ke mahkamah.

Jadi tindakan kerajaan ini bukan sahaja tidak boleh disoal dalam parlimen tetapi tidak boleh disoal dalam mahkamah. Ini bermakna kebebasan, hak rakyat sudah dirampas oleh kerajaan.

Sehingga hari ini, parti yang Tun asaskan iaitu Pejuang masih belum diberikan pendaftaran. Apakah pihak penaja ada pelan A, B, atau C kerana kita lihat sehingga hari ini orang tertanya-tanya apa yang berlaku pada Pejuang?

Kita tidak didaftar walaupun undang-undang berkata pihak kerajaan mesti mendaftarkan sesuatu badan itu kalau dia menepati segala syarat. Kita (Pejuang) menepati segala syarat tetapi masih tidak didaftar.

Jika Pejuang tidak didaftar, kita perlu cari jalan lain dan kita tidak boleh terangkan apa pelan tersebut. Tetapi kita masih ingat ketika kita masih dalam Bersatu dalam PRU14, sebelum PRU diadakan tiba-tiba parti yang sudah didaftar ditarik balik pendaftarannya. Pendaftaran Pakatan Harapan pun tidak diluluskan.

Tindakan kerajaan ini bertentangan dengan undang-undang negara yang sepatutnya kerajaan memudahkan segala urusan. Kerajaan lebih terpengaruh dengan politik parti dan tidak membenarkan pihak lain menentang. Ini yang berlaku.

Apakah Pejuang satu lagi parti yang akan pecahbelahkan perpaduan orang Melayu?

Pada mulanya, ketika kita melawan Malayan Union dan menuntut kemerdekaan, pada masa itu semua orang ada dalam satu parti sahaja iaitu UMNO. Kenapa? Kerana pada masa itu kalau kita bergiat dalam politik, kita tidak dapat apa-apa pun. Bila merdeka, ramai yang melihat melalui politik boleh jadi Yang Berhormat, boleh dapat gaji, boleh jadi menteri malah perdana menteri dan gaji besar. Jadi ada orang yang lihat menjadi wakil rakyat ini adalah satu cara mendapat pendapatan yang baik.

Ada yang kata Pejuang ini tidak lebih daripada menjadi satu lagi alat untuk Tun terus berkuasa. Apa komen Tun?

(Terpulang) kalau nak salahkan saya. Saya khuatir dengan masa depan orang Melayu dan saya lihat selama 80 tahun bagaimana orang Melayu merosot daripada segi kuasa kerana mereka berpecah.

Saya berpendapat bahawa masa depan orang Melayu amat gelap. Walaupun sudah berumur 95 tahun, saya masih berminat untuk menjalankan tugas saya. Bukan siapa suruh, saya rasa seperti itu.

Apa yang boleh rakyat atau orang Melayu harapkan daripada seorang bekas perdana menteri yang berusia 95 tahun yang tidak ada parti?

Pengalaman saya selama 80 tahun dalam politik dan lebih kurang 24 tahun sebagai perdana menteri. Saya ingat saya mempunyai pengalaman yang banyak yang boleh diguna oleh sesiapa sahaja. Sebab itu kalau ada orang datang jumpa, saya minta supaya saya membuat sesuatu, jadi saya cuba membuat sesuatu.

Setakat ini saya boleh menyumbang pendapat yang saya saya yakin orang lain tidak ada kerana tidak pernah jadi PM sekian lama.

Ada yang kata Tun sudah menyumbang kepada bangsa, kepada negara sekian lama dan inilah masanya untuk Tun berehat, tinggalkan politik?

Apabila saya letak jawatan pada tahun 2003, saya pun berharap saya dapat berehat, menikmati kehidupan, berjalan sana sini. Tetapi seminggu selepas saya letak jawatan, orang datang minta tolong buat sesuatu kerana mereka berpendapat bahawa yang menjadi PM ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik. Hanya seminggu sudah nampak kelainan. Selepas itu rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Saya cuba nasihat tetapi nasihat tidak berkesan. Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti dan menentang kerajaan. Parti yang dahulunya adalah parti saya.

Berdasarkan pemerhatian Tun, apa yang dilakukan oleh pimpinan pada masa ini?

Rasuah sudah merebak sampai tahap yang mana kerajaan boleh didirikan melalui rasuah. Pegawai dan anggota kerajaan boleh dibeli dengan duit. Jadi kita akan lihat negara kita ini diperintah oleh perasuah yang menjadi pemerintah kerana dibeli orang tertentu atau kerana mereka membeli tempat untuk diri mereka. Ini akan merosakkan negara.

Apakah ini baru berlaku atau dah berlaku sebelum ini?

Dulu ada rasuah, saya tidak kata tidak ada. Zaman British pun ada rasuah. Tetapi ia tidak melibatkan politik pada masa itu. Sekarang ini dalam bidang politik kita dapat kemudahan tertentu maka ramai yang ingin masuk dalam bidang politik kerana dapat kuasa untuk diri sendiri dan kuasa itu boleh disalah guna.

Kita sudah lihat ada pemimpin mencuri duit. Kenapa curi duit? Kerana nak sogok dengan duit yang banyak. Duit sendiri tidak ada, duit kerajaan pun tidak cukup. Jadi dibuat melalui syarikat tidak tertakluk kepada dasar-dasar kerajaan. Pinjam RM42 bilion dan sebahagian daripada duit itu hilang sampai sekarang ini.

Pada waktu Tun menjadi perdana menteri pada pusingan pertama dulu selama 22 tahun ada pandangan menyatakan sebahagian daripada masalah rasuah berpunca daripada era Tun?

Kalau nak pergi ke belakang, berpunca daripada merdeka dan demokrasi kerana demokrasi memerlukan populariti. Kadang-kadang ada orang yang nak dapat sokongan, dengan duit. Itu bermulanya rasuah.

Tetapi masa itu setakat nak jadi ketua bahagian, tidaklah begitu teruk sampai boleh mendirikan kerajaan. Saya bagi amaran berkali-kali. Kalau kita buat begini rakyat akan tolak kita.

Ini sudah pun berlaku kerana kita dapati semakin lama semakin ramai orang politik ini menyertai politik bukan kerana nak menyumbang kepada negara, bangsa atau agama tetapi kerana mahu ada tempat bagi diri sendiri.

Ada yang mengatakan bahawa Tun menutup mata kepada amalan rasuah dalam kalangan orang terdekat Tun dalam rakan perniagaan atau politik?

Saya dapat sokongan bukan kerana bagi apa-apa kepada orang. Saya nasihat (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kalau nak popular tak perlu beri duit. Turun ke kampung, bersalam dengan orang. Tanya khabar. Itu sudah cukup untuk mendapat sokongan.

Saya tidak belanja duit. Saya kedekut. Duit saya adalah duit saya. Saya tidak beri kepada orang. Tapi dengan cara kita berbaik-baik, lepas itu kita tunai janji kita nak bangun negara. Kita kena tunai janji untuk buat sesuatu. Jadi orang sokong kerana itu bukan selalunya kerana rasuah.

Dalam tahun 90-an, Tun atau UMNO pernah mengadakan Perhimpunan Agung Khas tentang politik wang. Apakah Tun rasa mesej pada ketika itu sampai khususnya kepada ahli-ahli UMNO ketika itu?

Saya nampak jauh ke hadapan. Kerana saya ikut apa yang berlaku sebelum itu. Kita tahu apa yang akan jadi kemudian dengan kita melihat apa yang sudah berlaku. Dia akan berjalan terus. Saya nampak nilai moral orang kita ini sudah kurang. Mereka lebih utamakan apa yang mereka dapat kerana kegiatan mereka dalam politik.

Mereka cuma nak jadi menteri, jadi perdana menteri kerana dapat kuasa dan seperti mana kita lihat, selepas saya letak jawatan, apabila orang yang ganti saya nampak peluang itu untuk dapat duit untuk diri sendiri, (dia) sudah melakukan perbuatan rasuah.

Bercakap tentang nilai agama dan Islam tetapi pada waktu sama mereka terbabit dengan rasuah?

Kita cakap tentang nilai. Kita tahu nilai yang baik tetapi kita tidak amalkan nilai yang baik. Kalau kita amalkan sebagai orang Islam, kita bercakap berkenaan dengan cara hidup Islam tetapi kita tidak amal.

Islam melarang kita membunuh. Kita tengok orang Islam banyak bunuh dan curi. Semua itu dilarang dalam Islam. Kita buat amal ibadat fardu ain untuk diri sendiri. Puasa, solat, bayar zakat, mengerjakan haji dua ke tiga kali, tapi dari segi rasuah dia lakukan juga.

Kita tengok perasuah ini setiap tahun buat umrah dan bagi duit kepada orang lain juga supaya buat haji tetapi curi duit berbilion-bilion.

Kalau saya jadi menteri pada zaman Tun, beranikah saya mahu persoalkan Tun jika Tun buat silap?

(Ketawa) Jika you macam (Tan Sri) Rafidah (Aziz), banyak yang berani tapi orang tidak tahu. Dalam Kabinet banyak benda yang saya cadang tetapi tidak lulus kerana mereka tidak bersetuju. Masa saya kendalikan krisis kewangan, saya buat cadangan, mereka tolak.

Akhirnya saya buat satu cadangan yang mereka boleh terima maka itulah yang mereka laksanakan. Jangan fikir dalam Kabinet saya tak ada siapa yang bercakap. Mesyuarat tiga jam sehari takkanlah saya seorang saja yang nak bercakap. Tapi orang lain tak percaya, mengatakan saya sebagai diktator. Musuh saya memang panggil saya diktator. Kalau dia panggil saya pemimpin saya, tentu dia tak boleh jadi musuh saya.

Mengenai usaha Sinar Harian melancarkan Sinar Rasuah Busters, apakah pandangan Tun?

Ini satu usaha yang mulia kerana tidak ada sesuatu yang lebih buruk daripada rasuah. Seluruh negara ini akan hancur kalau kita mempunyai moral value yang terima rasuah. Kita tengok banyak negara-negara tidak boleh maju kerana rasuah. Jadi kalau kita ada satu kempen lawan dengan rasuah saya fikir kalau kita berjaya negara ini akan selamat.

Apa lagi cadangan Tun supaya usaha ini menjadi gerakan massa, bukan setakat ‘hangat-hangat tahi ayam’?

Kita mesti tegas. Kita ada undang-undang tapi kalau undang-undang itu tidak dikuatkuasakan, ramai yang berpendapat ‘tak apalah aku lakukan pun tak jadi apa’. Kalau didapati bersalah pun tak masuk penjara. Itu kalau kita layan orang yang semacam itu, rasuah akan menjadi addict (ketagih). Kalau pemimpin adalah perasuah semua di bawahnya akan rasuah.

Bagaimana kita hendak sampai kepada level negara-negara yang bersih daripada rasuah. Apa cadangan Tun?

Ini mengambil masa yang pertamanya daripada kecil kita perlu disemai dengan perasaan bahawa rasuah itu salah. Kita tahu anak-anak kecil belajar daripada ibu bapa. Ibu bapa memberitahu apa yang baik, apa yang tidak, apa yang berdosa, apa yang dapat pahala. Semua ini diajar pada waktu kecil.

Kita kena bermula pada umur tiga tahun, kita perlu semai dalam hati anak-anak kita di sekolah, di sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah tinggi dan juga di universiti tentang nilai yang baik dan kenapa nilai yang baik perlu diamalkan. Pada masa sekarang, peranan ibu bapa sangat kurang kerana mereka bekerja. Tak ada masa hendak semai nilai-nilai yang mulia kepada anak.

Sebab itu dia menjadi tugas kerajaan untuk mengadakan kindergarten dan membantu kindergarten dengan kokurikulum yang ada nilai-nilai yang mulia kepada anak-anak kita.

Maksudnya ilmu ini perlu diterapkan dari peringkat pra sekolah?

Dari peringkat kindergarten supaya jadi satu budaya bangsa. Kita lihat sesetengah budaya bangsa begitu baik sekali sehingga mereka selalunya berjaya tetapi kita kurang berjaya kerana tidak ada satu usaha yang serius untuk pupuk nilai hidup yang mulia.

Kita orang Islam. Saya berpendapat kalau kita turut kita akan mendapat ajaran yang baik. Baca al-Quran dalam bahasa Arab kita tidak tahu apa yang dia kata. Kita juga tahu tapi kita tidak ikut. Banyak yang dilarang. Bila kita larang ‘hey babi tak boleh makan, itu haram’ kita tak makan. Tapi kalau kita kata rasuah lebih dahsyat daripada babi, dia kata tak apalah. Itu sifat yang ada pada kita.

Bual bicara eksklusif Bersama Tun M.
Bual bicara eksklusif Bersama Tun M.



Selama 22 tahun Tun jadi Presiden UMNO, masih ada tak perasaan sayang lagi pada UMNO?

Ya, sayang kepada parti tapi tak sayang kepada pemimpin.

UMNO adalah pokok yang kuat, akarnya tegap. Masalahnya adalah masalah pemimpin. Kalau boleh dibersihkan mana-mana elemen yang negatif itu mungkin ini adalah pokok satu satunya tempat orang boleh berlindung. Apa pandangan Tun?

Kalau UMNO pegang balik kepada dasar awalnya berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang ‘penyangak-penyangak’ apa semua itu saya tidak boleh kerjasama dengan diorang.

Pakatan Harapan dalam tahun 2018 menang pilihan raya. Nampaknya satu coliation yang ideal yang adil, dengan komposisi ahli Kabinet yang memancarkan pelbagai kaum dan sebagainya dan rakyat Malaysia menganggapnya ini adalah formula terbaik. Apa yang sebenarnya berlaku?

Apabila Najib kalah, dia nak cari jalan macam mana hendak kalahkan kerajaan. Serta merta dia memikirkan untuk kerjasama dengan Pas dan dia mula sebut tentang kerajaan Melayu Muslim, Melayu Islam kerana dia nampak Pakatan Harapan ini ramai yang bukan Islam dan bukan Melayu pun.

Jadi dia guna isu itu, dia main isu itu. Jadi lama kelamaan orang dalam Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ini terikut-ikut hendak ada Malay Muslim goverment tapi saya tidak setuju sebab itu daripada awal saya kata tak akan keluar daripada Pakatan Harapan untuk bersama dengan mereka.

Tapi mereka percaya kononya akan dapat mendirikan kerajaan Malay Muslim tetapi mereka tidak berjaya. Hari ini sebenarnya parti kerajaan yang ini kalau dia buang semua bukan Melayu jatuh kerajaan. Begitu kuat sekali bukan Melayu dalam kerajaan Perikatan Nasional sehingga mereka boleh jatuhkan kerajaan. Jadi bukan Malay Muslim tetapi di bawah kuasa bukan Islam.

Bagaimanakah Pakatan Harapan pada ketika itu yang mendapat kemenangan tetapi dalam beberapa bulan sahaja rakyat sudah mula mempersoalkan. Apa kesilapan Tun rasa?

Kesilapan yang paling besar ialah kita tidak boleh hendak layan rakyat seperti Najib layan. Kalau kita cuba kurangkan BR1M, mereka pun kata Najib lebih baik daripada Dr Mahathir. Dia bagi juga duit, Dr mahathir bagi apa?

Jadi itu menjadi tumpuan mereka adalah yang tuduh kononnya Pakatan Harapan ini dikuasai oleh DAP. Itu propaganda Najib untuk nak jatuhkan Pakatan Harapan. Tapi banyak benda kita buat tidak diiktiraf umpamanya untuk tubuh sebuah kerajaan yang berfungsi cukup.

Bukanlah mudah apabila ada pertukaran kerajaan kalau kita lihat di negara lain apabila ada peralihan maka akan berlaku macam-macam, apa nama keganasan dan sebagainya. Tapi kita dapat ambil balik dengan begitu licin dan dapat dirikan kerajaan dengan bersih.

Kita buang orang-orang kotor daripada civil service pun dan kita dapat jalankan tugas kita ada benda yang kita tak boleh buat, umpamanya benda benda yang memerlukan sokongan 2/3 daripada Dewan Rakyat. Kita tak ada majoriti 2/3.

Jadi undang-undang tidak boleh diubah melainkan kalau parti lawan sokong. Jadi benda yang tak boleh kita tak boleh buat tetapi ada benda-benda yang kita buat janji tetapi tidak tahu benda itu tidak boleh dilakukan umpamanya hendak hapuskan tol, itu bukan mudah tidak boleh buat.

Dua kali Tun berjanji hendak bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, pertama tahun 90-an. Yang baharu sewaktu Pakatan Harapan tapi Tun tidak tunaikan. Apa Tun sudah membuat keputusan daripada awal tak nak bagi pada Anwar?

Janji parti Pakatan Harapan ialah saya menjadi Perdana Menteri sekian lama tak ada mention berapa lama selepas itu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya dapati kerja-kerja yang perlu dibuat itu masih banyak ada lagi yang belum saya buat. Jadi saya tidak boleh menentukan bila saya letak jawatan tetapi saya berniat hendak letak jawatan. Tak akan saya hendak mungkir janji jadi perdana menteri sampai pilihan raya, tidak.

Saya hendak letak jawatan tetapi orang Anwar ini kata macam-macam kepada saya. Maki saya suruh saya berhentilah. Ada ekstremis, puak ekstremis. Jadi saya berpendapat apa dia nak kata, dia katalah asal saya jalan kerja (saya). Ada benda-benda yang saya hendak buat.

Minta maaf saya telah rancang cara-cara hendak mengatasi masalah ekonomi, macam mana hendak laksanakan dasar baharu kerajaan, semua ini saya dah buat tertib. Begitu juga dalam bidang pendidikan di mana ini semua saya kena laksanakan.

Kalau saya letak jawatan, benda itu tak jadi. Saya tahu tapi saya kena bertanggungjawab dan akhirnya saya letak jawatan.

Dari kiri: Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman; Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin.
Dari kiri: Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman; Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!