Penghantar makanan Foodpanda maut kemalangan
SEREMBAN - Seorang penghantar makanan, Foodpanda meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan di simpang tiga Jalan AST 6, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata kejadian dipercayai berlaku pada jam 8.25 malam, menyebabkan mangsa yang berusia 29 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mangsa yang menaiki motosikal jenis Y15ZR itu, disahkan meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang penghantar makanan "Food Panda", yang dalam perjalanan dari Taman AST menuju ke arah Seremban.
"Apabila tiba di tempat kejadian, datang sebuah kereta jenis Hyundai Atos dari arah bertentangan, yang dipandu seorang lelaki warga emas sedang membelok, namun hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar mangsa,"katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia, manakala pemandu kereta berusia 64 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pengendalian bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!