Suhakam lahir kebimbangan isu Sugarbook

Suhakam
Suhakam
A
A
A
SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan berhubung isu aplikasi ‘Sugarbook’ yang digunakan oleh generasi muda untuk menawarkan diri menjadi peneman bagi mendapatkan sokongan kewangan.

Suhakam menerusi kenyataan pada Rabu berkata, generasi muda harus diberikan bantuan dan sokongan yang secukupnya bagi membolehkan mereka meningkatkan potensi diri mereka dalam aspek pelajaran atau kehidupan professional.

Menurutnya, ketiadaan mekanisma pemantauan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa boleh memberi kesan buruk kepada generasi muda.

“Dalam perkara ini, Suhakam menyeru pihak berkuasa berkenaan untuk bekerjasama dengan pakar dan organisasi berkaitan bagi mengkaji punca mengapa perkara ini berleluasa dan mengenal pasti serta melaksanakan langkah-langkah untuk menangani isu ini dengan efektif.

“Suhakam menyeru agar Kementerian berkaitan iaitu Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjalankan pemantauan berkala ke atas laman web pencarian teman sebegini atau aplikasi lain yang serupa.
Artikel Berkaitan:


“Adalah penting untuk memastikan keseimbangan antara hak untuk mendapatkan maklumat dan tapisan internet dalam mengawal apa yang boleh diakses, diterbitkan atau dilihat dalam laman web terutamanya apabila ia melibatkan generasi muda dan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Suhakam turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau aktiviti internet anak-anak bagi melindungi mereka daripada mengakses laman web berunsur lucah yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan diri mereka.

Pada 10 Febuari lalu, media melaporkan bahawa Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ketiga tertinggi Asia bagi jumlah 'sugar daddy' melalui aplikasi 'Sugarbook', sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!