Vaksin Covid-19 Moderna tiba di Singapura
SINGAPURA - Bekalan pertama vaksin Covid-19 Moderna tiba di Singapura pada Rabu.
CNA melaporkan vaksin itu dihantar menggunakan pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ7137, sebuah khidmat muatan berjadual dari Brussels, Belgium dan tiba di Singapura kira-kira jam 1.40 petang.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah mengumumkan pada 3 Februari lalu, negara itu memberi kelulusan sementara bagi vaksin Covid-19 keluaran Moderna sebagai vaksin kedua digunakan terhadap mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.
HSA memaklumkan semakannya terhadap data klinikal sedia ada mendapati bahawa manfaat vaksin Covid-19 Moderna melebihi risiko yang diketahui dan menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi sebanyak 94 peratus.
"Vaksin itu dibawa menerusi pesawat di Brussels dan sudah tiba di Singapura.
"Ia kemudian dibawa ke lokasi pembekuan Sats Coolport, di Lapangan Terbang Changi bagi penyimpanan dan penghantaran selanjutnya," menurut kenyataan Singapura Airlines (SIA).
SIA telah menghantar bekalan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Singapura pada 21 Disember tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!