Cari dalang di sebalik aplikasi Sugarbook
KUANTAN - Kerajaan perlu mencari dalang di sebalik aplikasi Sugarbook susulan ia didakwa menjadi platform kegiatan tidak bermoral.
Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, perkara itu penting agar ia dapat mengekang dan menghindar kemudaratan terhadap kepentingan awam.
"Kerajaan dan pihak berkuasa bukan sahaja menyiasat semua pihak terbabit dengan kegiatan ini, tetapi wajib mencari dalang di belakang tabir platform tersebut.
"Perkara ini (cari dalang) lebih utama untuk membongkar dan membanteras. paksi kejahatan aktiviti terkutuk tersebut. Kerajaan juga perlu melakukan penambahbaikan kepada segala kelompangan aspek undang-undang dan penguatkuasaan.
"Ini bagi memastikan benih-benih kegiatan songsang seperti ini tidak akan kembali wujud pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Sugarbook diberkas polis
Suhakam lahir kebimbangan isu Sugarbook
Dalam pada itu, Mohd Tarmizi mahu kerajaan Perikatan Nasional melakukan transformasi penguatkuasaan.
Katanya, pihaknya yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti mempunyai kesungguhan politik dan keberanian untuk melakukan perubahan ini secara bijak.
Selain itu, beliau berkata, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti mempergiat usaha dakwah, pembinaan sahsiah dan program kerohanian untuk masyarakat.
Pada Rabu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan polis berjaya menahan pengasas aplikasi Sugarbook di sebuah kondominium di Kuala Lumpur menerusi Ops Sugarbook kira-kira jam 4.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!