Mansuh Akta Antiberita Tak Benar, tindakan terburu-buru
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan kembali Akta Antiberita Tidak Benar yang dimansuhkan Ogos tahun lalu dengan melakukan beberapa penambahbaikan.
Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana akta itu mempunyai peranan dan kebaikan tersendiri untuk mengawal penyebaran berita tidak benar dengan cepat dan segera.
Justeru katanya, langkah kerajaan memansuhkan akta itu dilihat satu tindakan yang terburu-buru tanpa mengambil kira kesan pada masa akan datang.
“Saya berpandangan akta ini perlu diteruskan dengan membuat beberapa pindaan untuk elak ia disalah guna untuk tujuan politik dan sebagainya.
“Secara dasarnya akta ini sangat baik untuk membendung penyebaran berita palsu terutamanya yang semakin berleluasan di laman sosial ketika ini,”katanya kepada Sinar Harian.
Malah katanya, akta yang mula diperkenalkan April tahun lalu itu pernah digunakan untuk hadapi penyebaran berita tidak benar berkaitan langkah kerajaan ketika pentadbiran BN dalam menangani beberapa jenayah yang berlaku ketika itu.
“Ketika akta itu digunakan terdapat kritikan yang menjurus kepada beberapa aspek. Tetapi ia tidak seharusnya dimansuhkan, cuma perlu meminda beberapa perkara supaya tidak disalahguna demi kepentingan politik,”katanya.
Jelasnya lagi, meskipun ketika ini terdapat beberapa undang-undang lain di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun mekanisme di bawah akta itu belum mencukupi untuk mengambil tindakan drastik dan cepat terhadap penyebaran berita palsu.
Terdahulu, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diwartakan oleh kerajaan BN pada April tahun dimansuhkan 16 Ogos tahun sama selepas PH mengambil alih pentadbiran negara.
Pemansuhan itu diluluskan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!