Lelaki hilang kerja bakar bilik hingga merebak empat rumah
TEMERLOH - Seorang penyelia di sebuah syarikat petroleum ditahan selepas dipercayai melakukan khianat dengan api iaitu membakar bilik belakang rumahnya menggunakan minyak petrol di Taman Setia Kuala Krau di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap berhubung kejadian lima buah rumah teres termasuk rumah suspek di taman perumahan tersebut terlibat dalam kebakaran.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, isteri suspek berusia 45 tahun berada di ruang tamu bersama anaknya.
"Suspek keluar dari bilik belakang dan memberitahu dia membakar bilik belakang menggunakan minyak petrol sehingga terkena kakinya sendiri.
"Suspek kemudian menyuruh isteri dan anaknya lari menyelamatkan diri dan mangsa mendapati api merebak serta sempat mengambil dokumen penting sebelum keluar dari rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujar Mohd Yusri, suspek pulang ke rumah itu pada 11 Februari lalu untuk menziarahi isteri dan anaknya.
Menurutnya, isteri suspek mendapati suaminya dalam keadaan gelisah dan resah, namun tidak diberitahu puncanya sebelum isterinya mengetahui suaminya telah dibuang kerja.
Katanya, dalam kebakaran tersebut, kejadian bermula dari bilik belakang rumah suspek sebelum merebak ke rumah lain.
"Tangkapan terhadap suspek telah dilakukan dan soal siasat awal ke atas suspek mendapati banyak berdiam diri dan dipercayai mengalami kemurungan namun tiada rekod rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan permohonan reman akan dibuat pada hari ini (Khamis)," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!