Lebih 30 tong sampah rosak akibat terbakar
KUALA TERENGGANU - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini terpaksa meninggalkan notis peringatan supaya orang ramai tidak membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan kemudahan tersebut rosak dan tidak boleh digunakan.
Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed berkata, sehingga kini lebih 30 tong sampah yang diletakkan dibahu jalan untuk kemudahan orang awam di daerah itu rosak terbakar.
"Tong sampah antara barangan yang sering rosak kerana penggunaan yang salah. Antara punca kerosakan itu disebabkan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membakar sampah di dalam tong sampah sehingga menyebabkan plastik tong sampah cair dan tidak boleh digunakan lagi.
"Masalah tong sampah terbakar ini adalah antara kerosakan yang sering dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sehingga memaksa PBT berkenaan meninggalkakan notis supaya perbuatan serupa tidak berulang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes tong sampah terbakar berpunca daripada tindakan segelintir pengguna yang membuang puntung rokok masih menyala ke dalamnya.
"Perbuatan-perbuatan begini perlu dihentikan supaya harta benda awam ini terus terjaga dan boleh dimanfaatkan bersama.
"Selain tong sampah, kerosakan cermin cembung dan lampu isyarat juga antara perbuatan vandalisme yang dikesan berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!