Tiada harga mahal didik anak bangsa
SHAH ALAM - Tiada harga yang mahal untuk mendidik anak bangsa kerana nilai kejahilan itu jauh lebih mahal, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sehubungan itu, beliau berkata, tugas mengajar dan belajar tidak boleh terhenti walau apapun rintangannya.
"Kerajaan, guru, pelajar dan ibu-bapa, mesti melaksanakan tugas dan kerja-kerja kebangsaan yang sangat mulia ini dengan sabar dan tanpa putus asa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, antara sektor yang paling terjejas kerana pandemik Covid-19 ialah sektor pendidikan.
“Sekolah terus ditutup, peperiksaan tertangguh dan pembelajaran serta pengajaran terus dilaksanakan secara maya dari rumah.
“Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukanlah perkara mudah. Kalangan guru tidak pernah disediakan untuk mengajar mod maya dan pelajar tidak pernah belajar dari rumah. Ibu bapa juga rasa sangat terbeban.
“Apalagi dengan segala defisit prasarana, ketidakmampuan membeli peranti dan data serta pelbagai rintangan lain,” katanya.
Beliau berkata, sektor pendidikan negara jelas ketinggalan dari segi ketersediaan menghadapi pendidikan alaf baharu yang berteraskan teknologi digital.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menggunakan kesempatan ini untuk ‘reimagine’ dan merekayasa (reengineer) sektor pendidikan negara. Inilah masanya untuk kita memulakan revolusi digital dalam pendidikan nasional secara besar-besaran.
“Kita telah bereksperimen dengan pendidikan maya di semua peringkat selama setahun. Yakinlah pendidikan digital akan terus kekal dan menjadi paradigma baru sektor pendidikan Malaysia.
“Kedua, keberkesanan serta kualiti PdPR mesti segera dipertingkatkan. Galakkan guru dan murid berimaginasi dan meneroka segala kreativiti dengan sebebas-bebasnya. Inilah waktunya untuk membongkar segala idea, kreativiti, imaginasi dan penerokaan kaedah luar biasa dalam mengajar dan belajar,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, pengajaran harus berlaku dan bukan sekadar hanya memberi tugasan dan pautan berkaitan.
“Tugas guru adalah mencerah, menjelas dan memberi kefahaman hakiki melalui ‘reevaluation, rethinking and reimagination’.
“Ketiga, santuni sebaiknya segala keluhan ibu bapa. Yakinkan mereka bahawa pendidikan PdPR sebegini adalah satu-satunya pilihan waktu ini. Tanpa pembelajaran sebegini, kerugian adalah pada masa depan anak-anak kita.
“Terakhir, segerakan agihan laptop dan peranti percuma kepada pelajar kurang berkemampuan dan sediakan kuota internet percuma setiap hari agar tiada siapapun akan tercicir dan tertinggal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!