Tempoh penutupan Pasar Sentral Sibu dilanjutkan

Tempoh penutupan sementara Pasar Sentral Sibu dilanjutkan bermula esok sehingga 28 Februari. - Foto Bernama
Tempoh penutupan sementara Pasar Sentral Sibu dilanjutkan bermula esok sehingga 28 Februari. - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Majlis Perbandaran Sibu (SMC) melanjutkan penutupan sementara Pasar Sentral Sibu bermula esok (Jumaat) sehingga hujung bulan ini, 28 Februari, kata Pengerusi SMC Clarence Ting Ing Horh dalam stu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, dan sebagai mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi menyekat penularan Covid-19.

SMC memohon kerjasama semua peniaga berlesen di pasar itu supaya mematuhi arahan penutupan sementara itu bagi menurunkan risiko jangkitan Covid-19 dan memelihara keselamatan semua.

"Mari kita bersama memainkan peranan melandaikan lekuk pandemik dalam menempuh saat yang sukar ini.

"Tolong amalkan disiplin tinggi dan patuh kepada arahan Jabatan Kesihatan, prosedur operasi standard (SOP) serta arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang dikeluarkan dari masa ke masa, berdasarkan kepada situasi atau status Covid-19 di Sibu,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan peniaga serta orang ramai dengan sebarang gejala berkaitan Covid-19 atau menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19, supaya menjalani ujian calitan PCR dengan segera di klinik kerajaan berhampiran atau kemudahan ujian yang disediakan Kementerian Kesihatan di Pustaka Negeri, Sibu.

Penutupan Pasar Sentral Sibu pada mulanya dijadualkan tamat pada 14 Feb, namun dilanjutkan sehingga 19 Februari susulan peningkatan kes Covid-19, dan kini penutupan itu dilanjutkan lagi sehingga hujung bulan ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!