Anggota PGA disuntik vaksin Covid-19 Mac ini
RANTAU PANJANG - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula Mac ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, vaksin itu akan diberikan secara berperingkat kepada anggota PGA.
Menurutnya, sebagai langkah awal, pihaknya telah memberikan borang kepada anggota PGA bagi mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti sama ada mereka mempunyai masalah kesihatan atau alahan teruk.
"Anggota PGA yang mempunyai alahan atau penyakit tidak digalakkan untuk mendapatkan suntikan itu.
"Vaksin ini penting kerana anggota PGA yang bertugas di lapangan turut berdepan dengan ancaman Covid-19," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Sistem Dron Bersarang di Op Benteng Covid-19 di Markas PGA Lubok Stol di sini pada Khamis.
Hadir sama, Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar.
Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata, penggunaan dron bersarang dijangka akan memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negara pada masa hadapan.
Katanya, teknologi baharu ini dilihat membantu membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.
"Penggunaan sistem dron ini lebih efektif kerana dilengkapi dengan teknologi baharu dalam membantu penugasan kita di sempadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!