Gadis lapor polis gambar disalah guna Sugarbook

Gadis yang mendakwa gambarnya disalah guna dan dimuat naik di aplikasi Sugarbook membuat laporan di Balai Polis Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Rabu. - Foto Facebook PU Rahmat
Gadis yang mendakwa gambarnya disalah guna dan dimuat naik di aplikasi Sugarbook membuat laporan di Balai Polis Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Rabu. - Foto Facebook PU Rahmat
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang gadis membuat laporan polis selepas gambar miliknya didapati diambil tanpa kebenaran dan disalah guna aplikasi janji temu 'Sugarbook' pada Rabu.

Pencetus Ummah (PU) Rahmat berkata, pihaknya sedih dengan tindakan aplikasi tersebut mencuri foto gadis berusia 18 tahun itu hingga boleh menjatuhkan imej dan mencalarkan maruahnya.

"Sekarang, gadis itu berasa sedih dan depresi apabila masyarakat mencemuh dan menghina dirinya kerana salah sangka bahawa dia menjadi sugar baby.

"Bayangkan kalau gadis Muslimah ini anak tuan-puan. Dimalukan, diaibkan dan dihina satu Malaysia seolah-olah perempuan jalang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Katanya, dia telah mengajak mangsa dan bapa gadis tersebut untuk membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pengasas aplikasi itu.

"Saya juga berharap orang ramai dapat menandatangani petisyen untuk membersihkan nama gadis berkenaan agar perkara ini dapat dibawa kepada pihak berwajib," katanya.

Beliau juga menggesa Sugarbook membuat permohonan maaf kerana telah mencalar maruah seorang wanita dan seorang Muslimah atas tindakan dilakukan.

"Selain itu, kita berharap orang ramai diminta memberi komen positif agar mengembalikan semula semangat dan emosi gadis berkenaan selepas difitnah seumpama itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mangsa juga menjelaskan perkara berkenaan di ruangan komen Facebook PU Rahmat dengan memaklumkan gambarnya adalah gambar dimuat naik di Instagram sebelum dicuri.

"Dalam Instagram saya, saya ada tag nama, tempat tinggal dan gambar itu pun daripada highlight story, saya simpan untuk buat kenangan masa bercuti dengan rakan," katanya.

Bagaimanapun kata gadis itu, dia sudah pun memadamkan semua gambar yang dimuat naik di Instagram.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 1 petang di Balai Polis Kota Sarang Semut pada Rabu.

Katanya, gadis berkenaan membuat laporan polis selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada rakannya memaklumkan ada melihat hantaran di Facebook yang memaparkan beberapa akaun dan gambar daripada aplikasi Sugarbook termasuklah dirinya.

Ahmad Shukri berkata, laporan berkenaan telah diklasifikasikan sebagai ROA atau rujuk lain-lain agensi iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan tahan reman pengasas aplikasi 'Sugarbook'

Pengasas Sugarbook diberkas polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!