Awang import MUFC lengkap
MELAKA United FC (MUFC) melengkapkan senarai pemain import dengan mendapatkan khidmat penyerang berasal dari Montenegro, Stefan Nikolic bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang bermula 5 Mac depan.
Majlis menandatangani kontrak pemain import kelima MUFC itu disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) pada satu majlis ringkas di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.
Pemain berusia 30 tahun itu berhijrah daripada kelab Bosnia Herzegovina, Krupa selain turut berpengalaman bersama banyak kelab di sekitar negara-negara Balkan dan Eropah seperti Serbia, Romania, Rusia, Poland, Croatia dan Bosnia.
Di peringkat antarabangsa, Nikolic pernah membarisi skuad Bawah 19 dan 21 tahun negaranya dan MUFC merupakan kelab pertama pemain itu dalam penyertaannya di Liga-M dan Asia Tenggara.
Turut menandatangani kontrak pada majlis itu ialah dua pemain tempatan baharu, pemain pertahanan yang juga bekas kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, 32, dan pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, 29, yang berhijrah dari Kelantan.
Sebelum ini, Melaka United mengikat kontrak dua pemain import baharu, penyerang berasal dari Brazil, Alex dos Santos Goncalves dan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Gelito Ott yang mengisi kuota pemain import ASEAN.
Selain itu, pasukan berkenaan melanjutkan kontrak dua pemain import musim lepas, pemain kebangsaan Haiti, Sony Norde dan pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk-Won.
Sementara itu, Sulaiman berharap Nikolic cepat menyesuaikan diri dengan cuaca negara ini serta corak permainan dalam saingan liga tempatan dan dengan pengalamannya itu dapat membantu skuad Sang Kancil melakar sesuatu atau memperbaiki pencapaian musim lalu.
"Selain itu kehadiran pemain berpengalaman dalam Liga-M seperti Khairul Helmi dan Wan Zaharulnizam, bersama barisan pemain yang ada mampu memberikan cabaran kepada semua pasukan lain sama ada dalam saingan Liga Super mahupun Piala Malaysia.
"Tiada sasaran terlalu tinggi diletakkan musim ini, apa yang lebih penting adalah memburu kedudukan terbaik dalam Liga Super dan memperbaiki pencapaian musim lalu," katanya.
Dalam saingan Liga Super 2020, MUFC menamatkan saingan di kedudukan kesembilan dengan mengutip 11 mata. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!